Penyokong Tok Gajah label Muslim Ahmad ‘Harry Maguire' versi Pahang


  • Podium
  • Selasa, 23 Ogos 2022

Permainan hambar yang dipamerkan oleh Muslim ketika Phang menentang TFC menyebabkan peminat mula mempersoalkan kredibilitinya sebagai pemain — Facebook/SriPahangFC

SELEPAS mengharungi lima perlawanan tanpa kalah, Sri Pahang akhirnya kecundang kepada Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 1-2 pada aksi Liga Super, pada Ahad.

Dalam perlawanan itu, Sri Pahang terlebih dulu mendahului 1-0 menerusi jaringan pemain Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-46 sebelum TFC bangkit dengan dua gol menerusi Habib Haroon dan Petrus Shitembi pada minit ke-72 dan 87.

Di sebalik permainan TFC yang dipuji pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh, ada penyokong yang berpendapat Tok Gajah boleh mempamerkan aksi lebih baik.

Muslim kekal menyarung jersi Skuad Tok Gajah bagi musim keenam

Muslim Ahmad kekal menyarung jersi Skuad Tok Gajah bagi musim keenam musim ini. — Facebook/SriPahangFC

Ini kerana, ada beberapa pemain yang dianggap tidak memberikan aksi terbaik di atas padang termasuk kapten pasukan, Muslim Ahmad yang disamakan dengan kapten Manchester United, Harry Maguire.

Selama ini, Harry Maguire sering buat kesilapan kecil yang boleh mengundang padah kepada Man United.

"Muslim adalah Harry Maguire versi Sri Pahang. Steven Rodriguez nampak lemau malam ni (Ahad) mungkin sebab bola tak banyak sampai kat dia.

"Azam Azih dah berapa game main entah apa-apa. David Rowley si misai tebal pun tak tau apa fungsi atas tu.

"Nampak Manuel Hidalgo je yang main sedaya upaya.

"Dollah kena cari cara nak baiki pertahanan. Senang sangat kena tembus dengan Terengganu, mungkin faktor pemain tengah tak hidup juga.

"Walau bagaimanapun penjaga gawang, Samassa terbaik walaupun bolos dua," kata Naa Fizz.

Diberi peluang kedua, tampaknya Muslim seakan mensia-siakan tawaran itu dengan mempamerkan aksi kurang cemerlang bersama Pahang.

Sebelum ini, bekas kapten Sri Pahang itu pada awalnya diumumkan antara 14 pemain yang tidak bersama skuad Tok Gajah selepas berakhir musim 2021.

Namun pemain berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak bersama Sri Pahang yang menyaksikan Muslim kekal menyarung jersi kelab itu bagi musim keenam musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram