MISI balas dendam Sri Pahang FC berhasil selepas anak buah Datuk Dollah Salleh mengumpul tiga mata penuh ketika menewaskan Penang FC 3-2 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada Khamis malam.
Tonggak import Pahang, Steven Rodriguez memecah kebuntuan permainan dengan menjaringkan gol pada minit ke-44 sebelum wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan.
Pada separuh masa kedua, Penang FC menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain tinggi lampai, Rafael Vitor.
Rodriguez bagaimanapun terus meletakkan Sri Pahang di hadapan menerusi jaringan keduanya pada minit ke-74 hasil tolakan bola tinggi daripada Nor Azam Azih.
Sri Pahang terus menambah derita Penang FC selepas David Rowley menyempurnakan hantaran daripada Manuel Hidalgo untuk menghasilkan gol ketiga Tok Gajah pada minit ke-81.
Begitupun kegembiraan Sri Pahang tidak bertahan lama selepas import Penang, Lucas Silva berjaya merapatkan kedudukan selepas percubaannya menewaskan penjaga gol lawan, Mamadou Samassa ekoran kesilapan bola back pass daripada Nor Azam pada minit ke-85.
Rodriguez (dua kiri) meraikan gol kemenangan dengan rakan sepasukan. — Facebook/Sri Pahang FC
Keputusan 3-2 yang berpihak kepada Sri Pahang kekal hingga pengadil membunyikan wisel penamat.
Di ruangan komen Facebook Penang Football Club, penyokong pasukan itu, Mohamad Arisman berasakan permainan yang ditunjukkan tidak cukup cemerlang untuk menewaskan Sri Pahang.
"Ada effort tapi tetap tidak bagus. Silap sama...pemain pun ada yang tidak berkualiti. Tak faham betul dengan coach.
"Ada pemain lain tak mau bagi main. Dah akhir-akhir baru nak serang. Sayang betul, memang tahun ni Penang tak bernasib baik. Pengurusan buat apa pun tak tau," katanya.
Sementara itu, Azarin Hussain berpendapat Penang FC hanya bernasib baik dapat menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu.
"Dua gol nasib. Gol penalti dan gol kedua back pass, tiada gol padu. Usaha ada penyudah hilang ideal," ujarnya.
Penyokong Penang FC juga tercari-cari di mana Danial Ashraf Abdullah yang dilihat terus disisihkan jurulatih Datuk Zainal Abidin Hassan dalam skuad utama.
"Player tengah main bagus boleh pulak bawak keluaq. Sampai sekarang aku pelik, pasaipa (kenapa) Danial Ashraf tak dapat tempat?," soal Safrizal Sabri.
"Saravanan ni tukar buh (letak) Danial Ashraf elok lagilah. Kalau tak mau juga, standby la kalah 4-0," tegur Syakip Izzry.
"Yang Danial Asyraf dok simpan apa lagi? Buta kayu ke semua yang ada?," soal Uzair Fauzi pula.
Kemenangan itu menyaksikan Sri Pahang berjaya membalas dendam kekalahan 2-5 di tangan Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA sebelum ini.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Liga Super pada Khamis, rekod lapan kali berturut-turut tanpa kalah di tempat lawan Negeri Sembilan FC (NSFC) lebur selepas tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Saingan Liga Super yang seimbang pada separuh masa pertama akhirnya berpihak kepada tuan rumah selepas kapten pasukan, Paolo Josue menyempurnakan hantaran hasil sepakan sudut Zhafri Yahya dalam masa kecederaan untuk gol tunggal perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram