Dua tonggak Pahang sandaran penyokong rantai kepantasan trio 'winger' Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Perlawanan antara Sri Pahang dan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pada Ahad dijangka sengit. — Facebook

SKUAD Sri Pahang FC terus memanjat kedudukan carta Liga Super selepas mengumpul mata demi mata untuk berada di tangga kelima di belakang Terengganu FC yang bakal menjadi lawan mereka pada Ahad ini.

Magis pengendali Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh terus ditagih untuk meneruskan rekod kemenangan Sri Pahang FC yang kini semakin meningkat prestasi mereka di bawah bimbingan beliau yang dilantik sebagai ketua jurulatih interim Sri Pahang FC pada 21 Julai lepas bagi menggantikan Christophe Gamel sehingga penghujung musim ini.

Begitupun rata-rata penyokong menyatakan kerisauan kerana pemain-pemain Sri Pahang FC dilihat keletihan berikutan tidak mendapat rehat secukupnya selepas menempuh perlawanan dengan Penang FC pada Khamis lalu.

"Baru lepas lawan Penang FC, rehat sehari saja, macam mana pemain nak perform. Mesti lembik punya," kata Momad Rowdie di Facebook Sri Pahang FC.

Eikugnim Hazeif juga khuatir pemain akan keletihan kerana hanya dapat berehat dua hari.

"Kelebihan buat Terengganu nanti," ujarnya.

vssripahang-595x380

Faisal Halim (kanan) menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa dalam perlawanan pada 2 Julai lalu. Terengganu menang tipis 2-1 ke atas Sri Pahang dalam perlawanan itu. — Facebook

Seorang penyokong tegar Pahang, Hasrul Hayyun Hassan Hamid berasakan hal itu mungkin tidak menjadi masalah baik bagi Pahang atau Terengganu.

"Perlawanan tertunda yang mana pemain kena Covid-19 sebelum ini.

"Rasanya adil sebab dua pasukan pun tak ada tempoh rehat yang panjang. Harap Datuk Dollah bijak mengatur perlawanan," katanya.

Dia menaruh harapan agar tonggak utama yang bermain di posisi sayap, Zuhair Aizat dan Shahrul Nizam Nadzir dapat diturunkan dalam skuad utama bagi merantai pemain sayap berbahaya Terengganu.

"Zuhair dan Shahrul Nizam kena ada. Sebab kita kena hadap pemain sayap Terengganu yang laju...tak salah ada tiga pemain Terengganu yang laju," katanya.

Salah seorang pemain sayap lincah Terengganu yang digeruni tentunya ialah Faisal Halim yang turut berkhidmat dalam skuad kebangsaan. Dua lagi yang dimaksudkan penyokong mungkin merujuk kepada Faiz Nasir dan Hakimi Abdullah yang sering dipuji kerana menunjukkan permainan pantas di atas padang.

Dalam perlawanan menentang Penang FC pada Khamis, Dollah tidak menurunkan Shahrul Nizam dalam skuad utama kerana pemain itu menghidap denggi. Zuhair pula disenaraikan dalam skuad namun berada di bangku simpanan.

Sri Pahang FC bagaimanapun tetap berjaya menewaskan Penang FC dengan keputusan 3-2. Kemenangan itu menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya membalas dendam kekalahan 2-5 di tangan Penang FC dalam aksi suku akhir Piala FA sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram