ULTRAS ataupun penyokong tegar diibaratkan sebagai pemain ke-12 untuk sebuah kelab bola sepak dan kelompok itu merupakan individu yang akan sentiasa memberikan sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka pada setiap perlawanan.
Tanpa sorakan mereka pasti suasana stadium akan kekal sunyi sehingga wisel penamat dan kurang memberikan pengalaman menarik bagi penonoton yang hadir menyaksikan bola sepak di stadium.
Ultras Pahang atau lebih dikenali Elephant Army sebelum ini mengundurkan diri untuk turun ke stadium bagi memberikan sokongan buat Tok Gajah kerana tidak berpuas hati dengan cara pihak pengurusan Pahang.
Sebelum ini di bawah pimpinan Christoper Gamel, Tok Gajah tampil dengan aksi tidak konsisten dan terperosok di kedudukan bawahan Liga Super.
Namun sejak Datuk Dollah Salleh menggantikan Gamel, Sri Pahang FC tampil dengan aksi lebih bertenaga apabila masih belum mencatatkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super.
Dollah berjaya mengutip 16 mata daripada enam perlawanan sejak memimpin semula kelab itu apabila mencatatkan keputusan lima menang dan satu seri.
Di sebalik prestasi yang cemerlang itu, ternyata masih ada yang ditagih penyokong Tok Gajah.
Sudah lama tidak kedengaran chant daripada Elephant Army, seorang penyokong bola sepak Syamil Hamzah di Facebook meluahkan rasa rindu untuk melihat kemunculan mereka di stadium.
"Tolonglah muncul kembali Elephant Army, kami penyokong Pahang amat rindukan kamu semua, jika anda ada lagi semangat permain-pemain kita."
Hantaran tersebut, mendapat sambutan rata-rata penyokong Tok Gajah yang mengimpikan untuk melihat Elephant Army kembali beraksi semula menjadi tulang belakang pasukan Pahang.
"Tolong kembali semula, jangan marah lama-lama sangat, tanah tumpah negeri kita juga ini," kata Kelie Shamsudin.
"Bangkitkan semula semangat Elephant Army, jadikan semula kekuatan ke-12 Pahang, memang rindu dengan sorakan mereka," ujar Zul Fitri.
"Tolonglah kembali, penyokong Pahang amat merindui kalian semua, hidup perjuangan darah Mat Kilau, teruskan perjuangan demi tanah air kita Pahang," jelas Zarul.
"Minta Elephant Army datanglah bagi sokongan kamu semua, rindu nak tengok sorakan kamu semua," luah Mohd Azizi.
Saingan Liga Super bakal terus berlangsung dengan membabitkan perlawanan tertunda yang mempertemukan antara Sri Pahang menentang Terengganu.
Beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Darul Makmur, Pahang, pastinya memberikan sedikit kelebihan buat Sri Pahang yang akan mendapat sorakkan padu daripada para penyokong tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram