SEORANG peniaga pasar malam tekad meninggalkan bisnes jualan baju ketika perniagaannya ditimpa musibah semasa pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.
Lelaki itu, Yong Kuek Fah, 72, yang menjalankan perniagaan menjual pakaian di pasar malam sekitar Johor Bahru, Johor selama empat dekad mengakui sukar mendapatkan kerja lain kerana faktor usia.
Dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi tutor Bahasa Inggeris dengan menawarkan khidmat mengajar bahasa itu secara percuma kepada masyarakat setempat di Kulai.
Rata-rata pelajarnya terdiri daripada orang dewasa dan warga emas berusia antara 49 hingga 72 tahun.
"Saya hanya mahu melakukan sesuatu sementara saya masih ada kudrat. Ia lebih baik daripada duduk tanpa melakukan apa-apa di rumah," katanya.
Pada April lalu, Kuek Fah menawarkan diri untuk mengajar bahasa Inggeris di pusat komuniti kediaman kejiranan di Taman Desa Kulai.
Dia juga mengendalikan kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di Kampung Baru Senai.
Dengan hanya berbekalkan Malaysian Certificate of Education (MCE) (setaraf Sijil Pelajaran Malaysia), warga emas itu berkata, dia fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris menerusi pengalaman berniaga di pasar malam.
“Di sana, saya berpeluang bergaul dengan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan negara.
“Saya juga belajar bahasa lain seperti Tamil, Bengali, Nepal, Thai dan Burma daripada pelanggan saya,” katanya.
Kuek Fah berkata, dia juga akan membaca akhbar, buku dan kamus untuk memperbaiki pertuturan.
Menurut datuk kepada tiga orang cucu itu, pekerjaan tersebut memberi makna kepada dirinya kerana dia dapat melihat pelajarnya bertambah baik setiap hari.
“Kebanyakan pelajar saya lebih terbiasa dengan bahasa pasar dan saya mengajar mereka bercakap ayat yang betul supaya kedengaran lebih sopan.
“Ia juga menggembirakan saya apabila mereka bercakap dengan saya dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia walaupun ia adalah ucapan ringkas seperti ‘selamat pagi’ atau ‘salam sejahtera’.
"Bagi saya, mempelajari lebih daripada satu bahasa adalah satu kelebihan," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram