Urawa Red bukan lawan mudah, 8 bintang bakal tentukan nasib JDT — Penganalisis


  • Podium
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Barisan pemain JDT yang dibawa ke Jepun untuk menghadapi saingan ACL. — Facebook/ JDT

IMPIAN pasukan Harimau Selatan untuk 'menjinakkan' pasukan Jepun, Urawa Red Diamonds FC dalam perlawanan pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara Asia 2022 (ACL) pada Jumaat nanti bukanlah satu kisah dongeng.

Hal ini kerana kehadiran lapan pemain import yang diturunkan bersama pasukan tersebut diramalkan mampu memberikan saingan sengit buat juara ACL dua kali itu.

Lapan orang tersebut termasuk Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Leandro Velazquez, Shane Lowry, Moussa Jr., Levy Madinda, Carlie De Murga dan Jordi Amat bakal menjadi tonik tambahan pasukan JDT.

Perkara tersebut dikongsi oleh penganalisis sukan, Datuk Jamal Nasir yang berpendapat misi JDT meraih tiket ke peringkat suku akhir ACL adalah tidak mustahil.

"Saya berpendapat perlawanan Jumaat nanti akan menjadi perlawanan yang adil. Walaupun Urawa merupakan salah satu pasukan yang digeruni di Asia, tapi JDT akan menurunkan barisan terkuat mereka.

Tulang belakang misi suku akhir pasukan JDT. Facebook/ JDT

"JDT menurunkan lapan pemain import mereka dan dari aspek itu, JDT mampu menyamai kekuatan Urawa. Perlawanan akan menjadi sangat sengit.

"Saya tak berani nak cakap siapa akan menang sebab ini permainan kalah mati. JDT bermain sebagai pasukan pelawat, jadi kelebihan pasti pada tuan rumah.

"Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bagi semangat kepada pasukan JDT agar mereka dapat atasi cabaran-cabaran ini," katanya kepada Majoriti.

Pada April lalu, JDT memahat sejarah apabila layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL buat pertama kali sejak menyertai kejohanan berprestij Asia itu secara automatik pada 2019.

JDT yang ketika itu dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih, Benjamin Mora meraih kejayaan tersebut selepas menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.

Tangkap layar muat naik Instastory Mora pada Ahad memberi bayangan mengenai kehadirannya di perlawanan Jumaat nanti.

Mengulas mengenai kesan pertukaran jurulatih terhadap persiapan ke ACL, Jamal yakin situasi tersebut tidak sedikit pun akan menggugat konsistensi pemain-pemain JDT.

"Pemain-pemain JDT ini dah lama buat persiapan ke ACL, jadi mereka sudah memiliki kesefahaman. Saya tak rasa jurulatih baharu (Hector Bidoglio) ini ada 'usik' corak yang telah disediakan Mora buat pasukannya.

"Lagipun, jurulatih ini baru lagi masuk. Menurut pandangan saya, Bidoglio tak sempat nak buat apa-apa," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram