MAHKAMAH Persekutuan Putrajaya diberitahu bahawa permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd adalah taktik bagi melengahkan perjalanan dan pengakhiran kes tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Ad Hoc, Datuk V.Sithambaram berhujah bahawa permohonan itu difailkan untuk memanjangkan prosiding kes SRC bagi tujuan kolateral kerana bukti kumulatif yang ingin dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu boleh didapati oleh beliau semasa perbicaraan dan dalam apa jua keadaan, adalah tidak relevan dengan rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan.
"Yang Amat Arif, sebelum prosiding kes itu bermula pada April 2019, semua orang tahu bahawa hakim perbicaraan (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) pernah berkhidmat di Maybank. Semasa kes pembelaan, ini adalah isu beban. Mereka patut membangkitkannya namun mereka tidak mengambil sebarang tindakan pada ketika itu.
"Selain itu, tiada bukti konflik kepentingan di pihak Hakim Mohd Nazlan pada perbicaraan SRC seperti yang didakwa oleh pemohon (Najib). Pemohon telah membuat dakwaan berniat jahat dan semberono terhadap hakim itu, yang tidak dapat membela dirinya secara peribadi daripada kesemua dakwaan palsu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membantah usul Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC agar ia dibicarakan semula pada pendengaran rayuan terakhir kes itu di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
V. Sithambaram (kiri) pada hari pertama pendengaran rayuan Najib dalam perbicaraan SRC International di Istana Kehakiman, pada Isnin.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Sithambaram juga berkata, permohonan Najib adalah berdasarkan apa yang didakwa dimaklumkan oleh beberapa individu tertentu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), justeru Mahkamah Persekutuan harus menolaknya kerana afidavit sokongan Ahli Parlimen Pekan itu adalah berdasarkan keterangan dengar cakap.
"Afidavit Najib menunjukkan bahawa individu terbabit tidak memberitahu beliau secara peribadi apa yang mereka maklum kepada SPRM. Kenyataan mereka adalah semata-mata dengar cakap.
"Permohonan itu bukanlah bagi mengemukakan bukti baharu sebaliknya satu ekspedisi untuk memancing maklumat mengenai dakwaan konflik kepentingan di pihak Hakim Mohd Nazlan," katanya.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan, yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan), menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Najib bagi setiap pertuduhan pecah amanah jenayah (tiga pertuduhan) serta pengubahan wang haram (tiga pertuduhan) dan 12 tahun penjara serta denda RM210 juta bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan beliau.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana hakim itu memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.
Pendengaran rayuan kes itu bersambung pada Selasa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram