Selesai berdialog, 5 saranan 'fans' jika Sang Kenari mahu kembali terbang tinggi


  • Podium
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Kedah akan melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi aksi Liga Super. — Facebook KDA FC

BERIKUTAN aksi hambar yang dipamerkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, pengurusan Hijau Kuning akhirnya mengadakan satu sesi dialog bersama wakil kelab-kelab penyokong Kedah menjelaskan perkembangan terkini pasukan itu.

Sesi yang berlangsung selama dua jam di Bilik Seminar Muzium Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad menghimpunkan Ahli Lembaga Pengarah KDA FC, barisan kejurulatihan, wakil pemain dan 16 kelab penyokong.

Antara perkongsian yang menjadi tajuk perbincangan adalah prestasi semasa pasukan, perancangan dan tindakan yang telah diambil bagi memperbaiki prestasi di pertengahan liga.

Usai sesi dialog itu, ramai penyokong memberikan saranan penambahbaikan buat KDA FC termasuklah salah satu kelab penyokong maya Sang Kenari, Kedahan Green Yellow yang memberikan lima cadangan buat kelab itu.

Berikut lima saranan penyokong buat Sang Kenari jika mahu kembali terbang tinggi:

1) Pengurusan (termasuk jana duit)

Selepas menghadiri dialog itu, kelab penyokong berkenaan mengharapkan pihak pengurusan KDA FC akan lebih bijak dalam menguruskan kelab dan termasuklah menjana pendapatan.

Menurutnya, pengurusan pendapatan kelab adalah penting terutamanya pada musim 2023 kerana kesemua pasukan akan diswastakan tanpa masuk campur dari persatuan negeri.

“Pengurusan perlu mantapkan lagi kelab untuk tahun depan. Pengurusan perlu jana duit sendiri sebab tahun depan adalah tahun swasta penuh.

“Yang ini aku percaya kat Tan Sri (Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar). Sebab Tan sri memang nampak komited dalam ini..Setiap apa yang disuarakan penyokong..Tan Sri tulis. Harap tiada lagi alasan duit nak kena bahagi sebab bayar hutang,” katanya.

DIALOG 1

Antara wakil kelab penyokong yang hadir ke dialog yang dianjurkan oleh pengurusan KDA FC. — Facebook KDA FC

2) KPI realistik

Selain itu, kelab penyokong itu juga mengharapkan agar skuad Hijau Kuning sentiasa meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang realisitik dengan keadaan pasukan dan boleh direalisasikan.

“KPI pasukan perlu realistik dengan keadaan pasukan. Perkara yang buat salah satu sebab penyokong bising.

“Bab KDA FC..Biar pihak KDA FC yang bercakap,” jelasnya.

3) Merekrut pasukan sendiri

Antara perkara utama yang turut disarankan juga adalah pihak pengurusan KDA FC perlu mempunyai pasukan pemantau bakat (scout) yang tersendiri.

Perkara itu penting terutamanya apabila melibatkan bintang import kerana salah pilih pemain hanya menjadi barah dalam pasukan.

“Sebaiknya kalau boleh lepas ni KDA FC ada scout team sendiri..Pilih pemain yang betul-betul boleh main..Benda ini satu benda yang wajib dalam kelab bola sekarang ni,” katanya.

dialog 2

Sesi dialog itu merupakan janji pengurusan untuk bertemu penyokong setiap tiga bulan atau apabila diperlukan bagi memastikan semak dan imbang berlaku kepada semua pihak berkepentingan dengan bolasepak di Kedah. — Facebook KDA FC

4) Prestasi

Berbicara mengenai prestasi pasukan, bagi kelab penyokong itu, tidak dapat dinafikan sebahagian daripada kegagalan berpunca dari kesilapan jurulatih, Aidil Sharin Sahak namun pengurusan Sang Kenari juga merupakan faktor yang menyumbang kepada perkara itu.

Dia menyarankan agar semua pihak termasuk dari pengurusan sehingga ke barisan penyokong perlu menerima kesilapan lalu dan hanya memberi fokus untuk baki saingan liga.

“Untuk prestasi pasukan tahun ni...Memang ada salah jurulatih mungkin dari segi tektikal. Tapi tak adil jugak nak salahkan semua atas Aidil dan pemain..

“Banyak faktor yang mempengaruhi..Tak boleh tolak..Pengurusan pun terlibat sama...Harap sama-sama kita buka hati dan terima..Dan lepas ni kita perbaiki mana yang silap. Pengurusan cantik.. pasukan pun akan cantik,” katanya.

5) Persiapan awal

Menjelang musim hadapan, kelab penyokong itu memberi saranan agar membuat persiapan lebih awal termasuklah perancangan merekrut barisan pemain baharu.

“Persiapan awal untuk bentuk pasukan musim depan. Supaya tak jadi lagi masalah yang sama untuk tahun depan..Aku dengar kata ada dah pemain yang nak minta masuk..Atas pengurusan semua ini nak ambil atau tak.

“Harap tiada lagi alasan pemain yang takmau.. Untuk pasukan musim ni...Kita layan sampai habis musim. Hari Rabu ini kita pakat turun (stadium) Darul Aman bagi sokongan,” katanya.

Kedah akan melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Rabu bagi aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram