SELEPAS dua nama tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid dikaitkan dengan Sabah FC, terbaharu timbul khabar angin mengatakan kelab yang berpangkalan di Borneo itu berminat dengan dua lagi pemain senior Harimau Selatan.
Laman Facebook penyokong JDTFC memberi bayangan bahawa The Rhinos berminat mendapatkan khidmat dua legenda JDT iaitu Aidil Zafuan yang bermain di centre-back dan S. Kunanlan (right-back).
"Khabar angin mengatakan Sabah FC berminat dapatkan khidmat dua legenda JDT iaitu Aidil Zafuan dan S.Kunanlan serta dua winger JDT, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk musim hadapan," katanya di Facebook pada Isnin.
Untuk rekod, kedua-dua pemain otai itu bermain di bek pertahanan JDT, namun mereka kekurangan minit permainan kerana jarang diturunkan oleh bekas jurulatih, Benjamin Mora.
S. Kunanlan (kanan) kurang diturunkan dalam skuad utama JDT pada musim ini. — Facebook/ Johor Southern Tigers
Malah di bawah kendalian Hector Bidaglio, jurulatih dari Argentina itu turut dilihat menggunakan formula sama dengan memberi lebih kepercayaan kepada Shane Lowry dan Shahrul Saad di bahagian centre-back selain Matthiew Davies dan Syahmi Safari (right-back).
Di sebalik khabar angin itu, penyokong Sabah nampaknya kurang teruja kerana berpendapat Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee sudah memiliki barisan pemain terbaik di posisi berkenaan.
"Kalau betul khabar angin itu, kami hanya memerlukan Pawi (Safawi) dan Mat Yat (Akhyar). Untuk Aidil (yang bermain di posisi centre-back), kami ada Jackson, Dominic Tan dan Rawilson Batuil.
"Kami juga ada Mohd Hanafie dan Alto Linus (masing-masing midfielder) dan Rizal Ghazali (right-back)," kata Mohd Sharil di laman Facebook Sabah Supporters Club.
Jika dilihat berdasarkan data transfermarkt, kebanyakan pemain Sabah yang dinamakan itu juga lebih muda berbanding Aidil Zafuan yang sudah mencecah 35 tahun.
"Daripada ambil Aidil, bagus bawa masuk Syazwan Andik yang dipinjam ke Melaka United FC tu. (Dia) muda lagi," kata Erwin Sabdani.
Hazwan Bakri mempamerkan aksi cemerlang selepas diberi peluang beraksi semula untuk JDT musim ini. — Facebook/Johor Southern Tigers
Syazwan Andik berusia 26 tahun dan dipinjamkan dari JDT II. Pemain berketinggian 1.77 meter itu boleh bermain di posisi bek kiri, sayap kiri dan pemain tengah kiri.
Bagi Mohd Akhyar Farid, dia berpendapat, posisi pertahanan tidak menjadi masalah buat Sabah FC sebaliknya pasukan itu berdepan masalah serangan tumpul berikutan penyerang import baru, Jose Embalo tidak menunjukkan prestasi memuaskan setakat ini.
Justeru, dia berasa ada baiknya jika penyerang itu ditukarkan dengan striker JDT, Hazwan Bakri menjelang musim depan.
"Baik ambil Hazwan Bakri, posisi pun sama macam si Embalo, (Hazwan) supersub JDT.
"Biar masuk sekejap ada sahaja jaringannya, umur pun masuk 30-an sudah kaya pengalaman, Kim Swee pandai guna kuda-kuda tua. Harga pun lebih murah daripada pemain yang muda," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram