‘Saya kenal setiap pemain’ — TMJ dedah gaji Arif Aiman, tetap bersungguh walau gaji RM11k


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

TMJ mendedahkan gaji Arif Aiman (kiri) hanya berjumlah RM11,000 bagi musim lepas. — Bernama

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan yang gaji penyerangnya, Arif Aiman hanya berjumlah RM11,000 bagi musim lepas.

Perkara itu didedahkan TMJ menerusi satu perkongsian di akaun Instagram miliknya pada Selasa malam berkenaan bagaimana dia menguruskan JDT hingga memenangi 32 trofi untuk skuad senior dan akademi selama ini.

Kejayaan itu adalah disebabkan kewujudan DNA TMJ.

Menurut TMJ, Harimau Selatan melakukan sistem satu bos sahaja yang mana segala keputusan dibuat di tangannya dan apa juga yang berlaku adalah di bawah tanggungjawabnya.

"Saya berhubung dengan dengan jurulatih dan pihak pengurusan setiap hari. Jurulatih akan kongsikan strategi dan pemilihan pemain.

"Saya pula akan minta macam mana saya nak pasukan bermain dan pemain mana yang saya rasa sesuai. Jurulatih akan buat persiapan dalam latihan mengikut permintaan saya atau apa yang saya inginkan.

"Alhamdulillah, di JDT kita boleh lihat hasilnya dan pihak pengurusan atau jurulatih dapat arahan dari saya jika ada apa-apa berlaku. Baik atau buruk, saya bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, TMJ turut menegaskan bahawa pengurusan manusia adalah benda yang paling penting dalam bola sepak yang mana pemain perlu berada di tahap yang terbaik melibatkan emosi dan kecergasan.

Malah, pemilihan pemain juga dibuatnya bersama jurulatih mengikut falsafah kelab iaitu dominate, never say die, determine, discipline, innovate dan progress.

Dalam pada itu, TMJ turut mendedahkan yang dia sendiri membuat keputusan untuk kontrak pemain.

"Tahukah anda berapa gaji Arif Aiman tahun lepas? RM11,000 sahaja. Tetapi main bersungguh-sungguh. Kenapa? Kerana macam mana saya jaga setiap pemain.

"Contoh bonus, akan diberi kepada setiap pemain yang memberi 100 peratus dalam latihan dan perlawanan," katanya.

TMJ turut menegaskan bahawa ada dua perkara penting untuk memajukan sesebuah kelab bola sepak iaitu yang pertama ialah pengetahuan dan kedua dan juga perkara paling mustahak ialah sikap kemanusiaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram