Bermula dengan hobi, kusyen rehat tangan tema haiwan kini menang pelbagai anugerah


  • Hobi
  • Selasa, 09 Ogos 2022

JAMILAH melahirkan rasa syukur atas anugerah tersebut. — Bernama/Majlis Reka bentuk Malaysia

BERMULA dengan hobi menjahit, Jamilah Yahya kemudian berjinak-jinak dalam pembuatan kraf tangan pada 2017 selepas melihat potensi pasaran bagi mainan kanak-kanak daripada variasi kain.

Menggunakan kain batik dan teknik ikat celup, ibu kepada empat anak berumur 57 tahun itu menghasilkan pelbagai jenis produk antaranya patung kecil (mainan lembut), bekas pensel, kotak tisu dan bantal kecil bertemakan haiwan yang menjadi kesukaan kanak-kanak.

Terbaharu, kusyen rehat pergelangan tangan yang juga menggunakan tema haiwan menjadi produk hasil kreativiti beliau yang bukan sahaja telah terjual lebih 1,000 unit, malah membolehkan wanita itu merangkul anugerah reka bentuk pada Majlis Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) 2021 anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) pada Julai lalu.

Ditemui selepas majlis berkenaan, Jamilah melahirkan rasa syukur atas anugerah tersebut sekali gus membuktikan usaha kerasnya dalam bidang kraf tangan akhirnya membuahkan hasil.

“Saya juga telah mendapat tempahan 60,000 unit kusyen rehat tangan daripada sebuah syarikat besar (AEON), namun saya belum memberikan persetujuan.

"Semua produk yang saya hasilkan adalah buatan tangan dan bukan menggunakan mesin untuk menjahit,” katanya yang turut menggaji antara 20 dan 30 pekerja setiap kali ada tempahan dalam kuantiti banyak.

Produk dengan ukuran panjang 50 sentimeter (cm) dan lebar hampir sembilan cm itu mengandungi lima variasi haiwan antaranya harimau, beruang koala dan arnab yang dihasilkan menggunakan kain kapas, kain felt dan fiber. Ia dijual antara harga RM35 dan RM45.

Jamilah yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor juga merupakan seorang usahawan di bawah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan mendapat pembiayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

MGDA merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan dalam usaha menyokong industri reka bentuk yang menjadikan reka bentuk yang baik sebagai kriteria penting dalam amalan penghasilan sesebuah produk.

Pada MGDA 2021, buat julung kali turut diadakan penganugerahan Certified Industrial Designer (CIDe) kepada 16 individu, iaitu pengiktirafan tertinggi diberikan kepada pereka perindustrian tempatan. Kesemua 16 individu itu akan mengguna pakai gelaran CIDe pada nama mereka.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah yang juga antara penerima CIDe berkata penganugerahan berkenaan akan melonjakkan peranan pereka dalam negara untuk memajukan industri reka bentuk di Malaysia.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pereka Perindustrian (PEREKA) berkata pemain industri reka bentuk perlu berani membuat pembaharuan produk menerusi kajian dan penyelidikan berterusan agar produk berkenaan mendapat tempat dalam pasaran.

“Dalam konteks ini, kita hendak memastikan pemain industri tampil dengan produk rekaan sendiri, jenama sendiri dan bukannya pengilang peralatan asal (OEM),” katanya yang terlibat secara khusus dalam rekaan automotif.

Sementara itu, Ketua Program MGDA 2021, Zulfar Jaafar berkata, penganugerahan reka bentuk terbaik diberikan dengan melihat aspek keaslian produk, ketahanan, nilai estetika selain proses pembuatan dari awal hingga produk akhir.

Mengenai penganugerahan CIDe, katanya sekretariat MRM selepas ini akan membuka portal khas bagi membolehkan proses permohonan pengiktirafan dilaksanakan.

“Yang kita berikan kepada 16 individu adalah pengiktirafan khas. Selepas ini, mana-mana pereka bentuk yang mahu pengiktirafan CIDe perlu melalui proses tertentu.

“Akan ada sesi penyerahan data, sesi temu duga dan sebagainya untuk memastikan individu yang menerima CIDe betul-betul layak dan terulung dalam bidang reka bentuk,” katanya.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram