DALAM dunia yang berpaksikan teknologi ini, surat-menyurat bukan lagi medium penghubung untuk bertanya khabar sesama masyarakat.
Ini menjadikan pengumpulan setem bukan lagi satu hobi popular dalam kalangan masyarakat seperti mana yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu.
Namun, perkara itu tidak menghalang pemilik nama Meor Mahadzir Mohd Razali untuk setia dengan hobi tersebut sejak di bangku sekolah lagi.
Meor mendedahkan minatnya terhadap pengumpulan setem bermula pada detik dia melihat buku album setem yang dibawa pulang bapanya, yang ketika itu bekerja sebagai pemandu lori sisa pepejal di Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.
Mengakui koleksi setem Malaya paling menarik minatnya, lelaki berusia 50 tahun itu sanggup berhabisan ribuan ringgit demi mendapatkan setem yang memiliki nilai sejarah yang tinggi itu.
Set lengkap Sultan Iskandar Perak,1935-1937 bernilai RM1800
"Saya ingat lagi, waktu itu saya darjah enam. Ayah saya bawa balik dalam empat buah album setem. Waktu itu saya kagum melihat setem-setem dari luar negara.
"Dari situ, baru saya tahu wujudnya hobi kumpul setem. Saya pun mula kumpul. Bapa saya sering bawa pulang album-album setem yang dibuang orang. Jadi, saya kumpul.
"Kemudian, saya sertai kelab pengumpul setem di sekolah dan di situ kami bertukar-tukar setem. Namun, minat saya terhenti selepas habis sekolah.
"Tapi satu hari, saya pergi ke Kompleks Pertama di Kuala Lumpur, saya terjumpa satu kedai, nama dia International Stamp and Coin. Di situ, saya disarankan oleh pemilik kedai untuk membeli katalog setem.
"Melihat pelbagai jenis katalog yang mempamerkan set lengkap setem, semangat saya untuk mengumpul setem itu kembali membuak-buak," katanya kepada Majoriti.
Meor masih menyimpan koleksi yang dimakan anai-anai untuk dijadikan pengajaran buatnya.
Mengulas lanjut, Meor juga pernah putus harapan apabila dua kotak setem dan 12 album setem dalam simpanannya dimakan anai-anak sekitar 1999.
Hampir 80 peratus setem miliknya rosak dan tidak dapat diselamatkan sekali gus menyebabkan Meor mengalami kerugian yang agak besar.
"Ketika itu, kami sekeluarga pindah rumah. Jadi saya kumpulkan semua album setem dalam kotak dan simpan dalam stor sementara mengemas rumah baharu.
"Setelah enam bulan, baru saya teringat tentang album setem saya. Saya rasa tidak sedap hati. Apabila saya buka stor, saya terkejut habis melihat barang dalam stor dimakan anai-anai termasuk album setem yang saya kumpul," jelasnya.
Mahu menyalur minat yang dicetuskan oleh bapanya kepada anak-anaknya, Meor menggalakkan mereka mengikuti proses pengumpulan tersebut sambil mengajar mereka sejarah di sebalik setiap setem tersebut.
"Saya memang mengalakkan anak-anak saya untuk ceburi hobi ini. Mula-mula, saya suruh mereka tolong merendam setem.
"Lepas tu keringkan di atas kain. Saya juga ajar mereka cara kumpul setem mengikut katalog setem.
"Saya cerita setiap sejarah di sebalik setem. Contoh, setem sukan Komanwel, pertabalan raja dan sebagainya," katanya.
Salah seorang anak encik Meor sedang membelek katalog setem.
Bagi yang baru berjinak-jinak mengumpul setem, Meor ada beberapa tip untuk anda:
1. Beli katalog setem
Katalog setem memudahkan kita nak tahu tarikh dan watermark setiap setem. Ini boleh dijadikan bahan rujukan agar kita tahu bagaimana rupa setem asli sebelum membelinya dan berapa koleksi yang ada. Ia juga memudahkan kita untuk menilai harga setem.
2. Simpan album dalam tempat yang betul
Album perlu disimpan dalam tempat yang tidak berapa lembab atau kering bagi melindunginya daripada haiwan perosak. Selain itu juga, cara ini mampu mengelak setem tersebut menjadi kuning. Kalau ada bilik membaca, itu adalah kawasan terbaik untuk simpan setem.
3. Hati-hati dengan scammer
Sekarang urusan pembelian setem mudah sebab ia boleh didapati daripada jualan online. Cuma, perlu buat banyak kajian terlebih dahulu sebelum berurusan dengan penjual setem memandangkan ramai scammer yang aktif mencari mangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram