Selepas konflik 3 hari, Gaza setuju gencatan senjata dengan Israel


  • Benua
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Orang ramai mencari barangan selepas runtuhan bangunan, berikutan serangan udara Israel di Rafah, dekat Semenanjung Gaza pada Ahad. — Agensi

JIHAD Islam Palestin (PIJ) yang aktif di Semenanjung Gaza, Palestin pada petang Ahad mengumumkan bahawa, pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata dengan Israel.

Israel sebelum ini mengesahkan bahawa gencatan senjata dengan perantaraan Mesir itu akan berkuat kuasa pada pukul 11.30 malam waktu tempatan (2030 GMT), sekali gus menamatkan serangan udara Israel dan serangan roket Palestin, lapor Xinhua.

Perjanjian gencatan senjata itu termasuk tindakan susulan Mesir untuk memastikan pembebasan tahanan Palestin iaitu Bassam al-Saadi, seorang pemimpin kanan PIJ yang ditangkap di sebuah kediaman di Tebing Barat minggu lalu, manakala Khalil Awawda, yang kesihatannya semakin merosot selepas berbulan-bulan melancarkan mogok lapar, kata ketua jabatan politik PIJ, Mohammad al-Hindi.

Perjanjian itu juga termasuk melonggarkan sekatan yang dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007 dan membekalkan bahan api ke stesen janakuasa, yang menghentikan operasi baru-baru ini seterusnya memberi kesan terhadap sistem kesihatan.

Dalam kenyataan media, pengantara Mesir berkata, mereka telah meningkatkan hubungan dengan semua pihak untuk membendung peningkatan konflik, menyeru "gencatan senjata yang menyeluruh dan bersama" dan akan "berusaha membebaskan Awawda agar mendapat rawatan sewajarnya, serta berusaha membebaskan Saadi secepat mungkin".

Sementara itu, kedua-dua pihak yang bertelagah berkata, mereka berhak untuk menggunakan kekerasan walaupun selepas gencatan senjata.

PIJ dalam satu kenyataan mengalu-alukan gencatan senjata itu tetapi menegaskan bahawa, "kami akan mempertahankan hak kami untuk bertindak balas terhadap sebarang pencerobohan Zionis".

Sementara itu, Ketua Direktorat Diplomasi Awam Kebangsaan Israel, Lior Hayat berkata, "jika gencatan senjata dilanggar, Israel berhak untuk bertindak balas".

Sekurang-kurangnya 44 rakyat Palestin, termasuk 15 kanak-kanak terbunuh, manakala 360 cedera sejak Israel memulakan serangan di Semenanjung Gaza pada Jumaat, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian kesihatan Palestin di Gaza lewat Ahad.

Mangsa yang terkorban termasuk dua komander tertinggi PIJ, yang terbunuh dalam dua serangan udara berasingan di bandar Gaza dan bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Laporan media Israel memaklumkan, sekurang-kurangnya lapan rakyat Israel cedera akibat serangan roket yang dilancarkan PIJ ke selatan dan tengah Israel. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram