Cukup-cukuplah sentimen 'anak jati Pahang', ramai lagi secemerlang Arif Aiman


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Hatrik Arif Aiman menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika JDT menewaskan Penang FC 6-1 dalam separuh akhir Piala FA, Jumaat lalu. — Facebook/JDT

GOL hatrik pemain muda, Arif Aiman Hanapi menjadikannya topik hangat di media sosial, selepas membantu kemenangan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Penang FC, Jumaat lalu.

Tiga jaringan Arif membolehkan JDT meraih kemenangan besar 6-1 menewaskan skuad Penang FC yang dikendalikan Zainal Abidin Hassan, sekali gus pasukan Harimau Selatan melangkah ke pentas akhir Piala FA dengan penuh bergaya.

Cuma pada masa sama, antara topik yang menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan termasuklah apabila ada yang mula mempertikaikan negeri kelahiran Arif Aiman.

Beliau merupakan anak jati Pahang, namun ada yang salah faham mendakwa beliau merupakan anak kelahiran Johor.

Selain itu, ada yang beranggapan sentimen anak jati tidak lagi relevan, tambahan pula ramai lagi anak jati Pahang selain Arif Aiman turut tampil cemerlang ketika menabur bakti bersama kelab lain.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zin Arif berkata, tidak mustahil sekiranya Arif Aiman dan Farizal Marlias membuat penampilan bersama Sri Pahang FC, kelab Pantai Timur itu juga boleh menjulang piala pada setiap tahun seperti diperoleh oleh JDT.

Apatah lagi, pemerhati sukan itu berkata, ramai lagi anak jati Pahang yang membuat persembahan cemerlang ketika bermain di pasukan lain.

template (3)

Dari kiri: Khairul Azhan, Gopi Rizqi dan Azamuddin antara anak jati Pahang yang kini menabur bakti bersama kelab lain. — Agensi

Zin Arif berkata, Khairul Azhan (Selangor FC), Azamuddin Akil yang mewakili Kedah Darul Aman (KDA) FC, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra (Penang FC) merupakan contoh terbaik anak jati Pahang yang menabur bakti bersama kelab lain ketika ini.

"Semua anak jati Pahang yang sekarang ni bermain dengan pasukan luar negeri Pahang ni memang sampai habis nyawalah main dengan pasukan negeri orang.

"Kalaulah dia orang (mereka) tu main dengan negeri sendiri, memang habislah piala dalam Malaysia ni kena sapu bersih di Pahang," katanya sinis menerusi hantaran di laman Facebook.

Seorang lagi pengguna Facebook, Rakyat Marhaen berkata, sentimen kenegerian ini hanya dibuat-buat oleh segelintir pihak yang jelas tidak memberikan sebarang faedah buat kemajuan bola sepak tempatan.

"Kalau betul nak bangga pasal anak jati, ramai lagi pemain lain asal Pahang yang dah tak main dengan Pahang, elok je main kelab lain sekarang. Bukan setakat Arif Aiman seorang.

"Pemain bola perlu cari makan tanggung keluarga dengan anak bini, kita masih nak komplen pasal anak jati. Cukup-cukuplah sentimen macam ni, buang masa.

"Kalau Arif Aiman main untuk Pahang, belum tentu dia jadi bagus seperti mana sekarang. Kita doakan yang baik-baik je sudahlah," katanya.

Pada Selasa, Sri Pahang FC akan bertemu dengan Petaling Jaya (PJ City) FC dalam aksi Liga Super.

Ketika ini, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan, memperoleh empat kemenangan daripada 13 perlawanan serta berjaya mengutip 14 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram