Final Piala FA: Terengganu patut jadi hos, bukan JDT — Jamal Nasir


  • Podium
  • Isnin, 08 Ogos 2022

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin boleh menampung kapasiti 50,000 orang. — Agensi

SEHINGGA kini penyokong masih tertanya-tanya akan pemilihan venue final Piala FA musim ini yang akan menyaksikan medan terakhir antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) bagi menjulang kejohanan itu.

Namun berita baik buat penyokong bola sepak tanah air apabila dilaporkan, teka-teki tersebut bakal terlerai pada Selasa apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pihaknya sudah hampir mencapai kata sepakat.

Majoriti sebelum ini melaporkan bahawa pihak MFL kini dalam proses penilaian akhir dan kesemua persoalan akan dijawab menerusi saluran media rasmi mereka pada Selasa.

Pemilihan venue akhir Piala FA ini menjadi topik hangat antara kedua penyokong kerana ramai yang ingin membuat persiapan awal dan pastinya setiap pemain ke-12 kedua pasukan ingin perlawanan penentuan bagi menjulang piala itu berlangsung di laman sendiri.

Mengulas perkara itu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus selayaknya menjadi tuan rumah pentas akhir Piala FA.

Menurutnya, laman Johor Darul Takzim (JDT), iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sering merasa suasana pentas akhir jika dibandingkan dengan Terengganu.

TFC 2

Kejayaan TFC ke peringkat akhir disaksikan oleh lebih 30,000 penonton di laman sendiri. Bernama

“SSI tak boleh sebab selalu final buat di sana. Jadi saya rasa yang terbaik adalah buat di Terengganu. Semua tahu, final tak pernah buat di Terengganu. Kali terakhir mereka masuk final masa 2011.

“Kenapa tak beri sahaja mereka peluang. Bagi saya beri satu pengiktirafan kepada Terengganu sebab selepas 11 tahun baru masuk final. Bagi orang tempatan dapat peluang tengok depan mata,” katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Penyu layak ke pentas akhir ialah pada 2011 di mana ketika itu ia di bawah bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Tambahnya, jika syarat pemilihan stadium perlu tidak berkecuali, hanya Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur sahaja yang layak kerana kapisitinya yang mampu menampung sehingga 85 000 orang.

Selain itu, stadium yang turut menjadi sebutan adalah Stadium Darul Makmur, Pahang dan Stadium Hang Jebat, Melaka yang masing-masing mampu menampung kapisiti 40 000 orang.

Namun bagi Jamal Nasir, pemilihan venue lain selain SNBJ juga sama seperti memilih stadium antara kedua pasukan itu kerana kesemuanya hanya mampu menampung kira-kira 40,000 orang.

ISKANDAR PUTERI, 5 Ogos -- Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) diasak pertahanan Penang FC Muhammad Adib Abdul Ra’op (kanan), pada perlawanan Separuh Akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. 

Keputusan semasa JDT 2-0 Penang FC. 

--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

JDT meneruskan kemaraan ke final Piala FA selepas menundukkan Penang FC. — Bernama

Dalam pada itu, bekas pemain Pahang itu memberi pesanan bahawa usah khuatir dengan pemilihan venue kerana taktikal permainan yang akan jadi pertaruhan.

“Sekiranya MFL buat Terengganu jadi tuan rumah kenapa nak risau kerana JDT kan pasukan hebat. Sebenarnya tak perlu kisah main dimana kerana pasukan terbaik juga yang akan menang.

“Buat apa risau venue, baik risaukan pasukan sendiri,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram