KEDAH Darul Aman (KDA FC) seakan mendapat tonik tambahan menjelang pertemuan dengan pasukan dari Indonesia, PSM Makassar dalam saingan separuh akhir peringkat zon Asean Piala AFC di Stadium Captain I Wayan Dipta, Bali, Indonesia pada Selasa.
Beberapa jam sebelum perlawanan bermula, gol jaringan penyerang KDA FC, Ronald Ngah Wanja telah dipilih sebagai jaringan terbaik untuk peringkat kumpulan di Piala AFC.
Gol yang dijaringkan penyerang berusia 30 tahun itu adalah ketika mereka menentang kelab dari Kemboja, Visakha FC yang turut menyaksikan Sang Kenari menang besar dengan jumlah jaringan 5-1.
Ronald Ngah dan Mahmoud Al-Mardi antara yang menjaringkan gol ketika bertemu Visakha FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Menerusi perlawanan yang berlangsung pada 30 Jun lalu, tiga gol dijaringkan oleh Mahmoud Al-Mardi dan masing-masing satu oleh Fayadh Zulkifli dan Ronald Ngah atau lebih mesra disapa Pak Ngah.
Menerusi gol tersebut, pemain berasal dari Cameroon itu menerima umpanan bola daripada Dechi Marcel di kawasan tengah sebelum mengelecek dan melepaskan diri daripada kawalan dua pemain Visakha FC.
Ronald Ngah kemudian membuat larian secara solo dari tengah padang sebelum menggelecek seorang lagi pemain dan menjaringkan gol.
Ronald Ngah (kiri) memikul tanggungjawab besar menentang PSM Makassar pada Selasa. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Menurut laman AFC, Ronald Ngah mendapat 57 peratus undian sekali gus berada di tempat pertama.
Tempat kedua pula dimiliki oleh pemain pasukan Bashundhara Kings (Bangladesh), Robinbo, yang mendapat 38 peratus undian.
Sementara tempat ketiga pula dimiliki oleh pemain sayap pasukan ATK Mohun Bagan (India), Liston Colaco dengan jumlah undian lima peratus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram