Tembelang perkosa murid di Bintulu terbongkar, guru Kelantan menghilang tanpa kesan


  • Tular
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Mangsa mendakwa suspek telah merogolnya sebanyak dua kali pada Mei lepas.

ORANG ramai diminta untuk membantu mengesan seorang guru berasal dari Kelantan yang kini dipercayai menghilangkan diri selepas disyaki merogol seorang pelajar sekolah menengah di Bintulu, Sarawak.

Berdasarkan dakwaan seorang penguna Facebook, Jenifer Lawrence di halaman Sarawak Covid-19 Awareness Group (Public), dia mendakwa seorang guru dipercayai merogol anak murid di Bintulu berdasarkan laporan akhbar Sin Chew Sarawak.

Jenifer turut mendakwa, guru lelaki itu kini menghilangkan diri.

"Kejadian berlaku di salah sebuah sekolah menengah di daerah Sebauh, Bintulu, Sarawak.

"Dikhabarkan lebih daripada seorang murid yang dirogol namun kita masih menunggu laporan atau kenyataan daripada pihak polis," tulisnya.

Menurut Jenifer, kejadian itu terbongkar selepas salah seorang daripada ahli keluarga melihat mangsa dalam keadaan murung.

"Setelah didesak, mangsa mendakwa telah dirogol oleh guru berkenaan di dalam bilik muzik sekolah.

"Penjaganya terus membuat keputusan membuat laporan polis," dakwanya lagi.

Namun, Jenifer tidak menolak sekiranya kes itu kejadian fitnah kerana masih menunggu siasatan dari pihak polis.

"Berkemungkinan besar terdapat ramai lagi mangsa,"katanya.

Memetik laporan Sin Chew Sarawak, guru sekolah menengah terbabit didakwa melakukan perkara terkutuk itu sebanyak dua kali pada Mei lalu.

Selepas membuat laporan polis, mangsa telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, keterangan suspek juga diambil oleh pihak polis untuk membantu siasatan pada hari yang sama.

Suspek kini dipercayai telah menghilangkan diri selepas selesai memberikan keterangan kepada polis.

Selain itu, doktor mengesahkan mangsa ada 'kesan' dan mengalami trauma.

Kali pertama insiden itu berlaku pada 5 Mei lalu, pelajar berumur 14 tahun itu kembali ke sekolah setelah habis cuti sekolah.

Mangsa kemudiannya memanggil suspek ke kelas muzik pada waktu petang. Waktu kejadian, mangsa turut ditemani oleh sepupu mangsa.

Namun suspek menyuruh sepupu mangsa menunggu di luar kelas. Suspek terus merogol mangsa.

Mangsa dirogol kali kedua pada penghujung Mei di bilik kelas yang sama.

Mangsa juga telah diugut untuk tidak memberi tahu perkara tersebut pada siapa-siapa sekiranya ingin selamat.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak sekolah dan pihak berkuasa berhubung insiden tersebut setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram