KESELAMATAN jalan raya sememangnya menjadi keutamaan buat semua pemandu kereta mahupun motosikal terutamanya ketika berada di laluan lebuh raya.
Kemalangan yang berlaku bukan sahaja boleh mengakibatkan isu kesesakan lalu lintas, malah kes kematian juga boleh terjadi berpunca daripada perlanggaran yang melibatkan orang ramai turut terbabit sama.
Terbaharu, tular di laman sosial Facebook pada Selasa apabila sebuah lori kontena dirakam sedang bergerak dalam keadaan senget, sekali gus mengundang bahaya pengguna jalan raya.
Meskipun lampu kecemasan 'hazard light' sudah dinyalakan oleh lori tersebut, keadaan kontena yang separuh terbuka dan senget itu sememangnya berbahaya jika perjalanan masih diteruskan oleh pemandu lori tersebut.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di laluan Pelabuhan Klang, Selangor.
Menerima pelbagai komen dan kecaman daripada orang ramai, rata-ratanya menyalahkan pemandu lori berkenaan kerana tidak bertimbang rasa terhadap keselamatan pemandu lain.
Pengguna Facebook, Tony Rahman meluahkan kemarahannya kerana kejadian seperti itu bukan sahaja boleh mengakibatkan kemalangan malah kesesakan lalu lintas yang teruk di lebuh raya.
"Laluan Westport ni aku bawa motor setiap hari pergi balik kerja, driver lori ni boleh jadi punca jem 4 jam kalau lori tu rebah tepi jalan.
"Sepatutnya berhenti tepi la kalau rebah himpap orang kan mati nanti," katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Ryan Kedai Roti berkata: "Ini kalau mati dikira takdir ke?"
Namun, ada yang berpendapat bahawa lori tersebut berkemungkinan baru sahaja terlibat dengan kemalangan dan sedang dalam perjalanan ke bengkel untuk dibaiki.
Cuma pada masa sama, ada juga beranggapan pihak berkuasa sepatutnya perlu bertanggungjawab mengawal dan mengiringi lori berkenaan hingga selamat tiba di destinasi atau bengkel.
Muhammad Hilmi pula berkata, "Kawalan keselamatan kena ada kalau betul lori tu nak dibaiki, bukan main jalan je bahayakan orang ramai.
"Kalau dia berhenti terus kan bagus,tak payah jalan kalau tak nanti tertanggal pintu sebelah tu habis kemalangan orang dibuatnya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram