SEORANG pembantu rumah didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah setelah mencuri ribuan paun daripada seorang penulis novel seram terkenal zaman 70-an, Guy N Smith.
Suspek, Nichola Whiffen yang diambil bekerja sebagai pembantu rumah melakukan hal tersebut ketika menjaga mangsa yang sedang sakit tenat pada 8 September 2018 sehingga 9 Januari 2020.
Ahli keluarga Smith menyuarakan kesedihan mereka terhadap perbuatan Whiffen yang sanggup memperdaya Smith yang sedang sakit dengan mencuri wang bernilai £2,400 (RM 12,925).
Anak Smith, Tara Paulsson berkata, penipuan itu memberi tekanan yang tinggi kepada mendiang bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada musim Krismas 2020.
"Whiffen pada asalnya diambil sebagai pembantu rumah. Kemudian, dia mula membantu bapa saya menguruskan hal-hal berkaitan online.
"Ketika itulah dia mengambil kesempatan untuk mencuri wang tersebut. Ayah saya memang sayang dan percaya Whiffen kerana keluarga kami telah lama kenal rapat.
"Pengkhianatan ini sememangnya tamparan besar buat kami sekeluarga. Kehilangan duit itu menimbulkan ketegangan dalam keluarga kami.
"Kesian mendiang ayah. Dia sampai meninggal masih lagi enggan percaya bahawa dia ditipu oleh seseorang yang dia kasihi.
"Malangnya, kini ayah telah tiada. Dia tidak sempat tengok hari 'keadilan' buat dia ini," katanya.
Di mahkamah, Whiffen dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan dan diperintahkan untuk menyelesaikan 130 jam kerja tanpa gaji. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram