Mungkin tinggalkan Penang FC, penyokong pasrah Danial Ashraf pilih Sang Penyu?


  • Podium
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Bakat Danial Ashraf seolah-olah disisihkan selepas Zainal Abidin dilantik sebagai ketua jurulatih Penang bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini. — Twitter/Penang FC

BERSAMA Penang FC dalam saingan Liga Super musim ini, Danial Ashraf Abdullah dilihat masih tenggelam timbul dalam arena bola sepak tempatan.

Malah perkara itu turut dapat disaksikan penyokong Penang FC yang mengikuti secara rapat perkembangan kerjayanya.

Perkara itu dikatakan dapat dilihat semasa perubahan barisan kejurulatihan antara Thomas Trucha dan Datuk Zainal Abidin Hassan pada musim ini.

Apabila Zainal Abidin menyertai skuad Harimau Kumbang sebagai ketua jurulatih pada 1 Jun lalu, bakat Danial Ashraf seolah-olah disisihkan selepas dia tidak lagi disenaraikan dalam skuad utama.

Dia hanya diturunkan sekali ketika Penang menentang PJ City pada 18 Jun sebelum 'direhatkan' dalam tiga perlawanan seterusnya. Dia kembali dalam skuad ketika Penang berdepan Melaka United FC dan Sarawak United FC namun hanya diletakkan di bangku simpanan.

Baru-baru ini, Danial Ashraf mendedahkan bahawa dia mungkin tidak lagi bersama Penang FC pada musim depan. Dia membuat pemberitahuan itu kepada laman Facebook Penang Brotherhood yang berkongsi semula tangkap layar perbualan mereka di laman sosial tersebut.

"Bukanlah nak jadi coach tapi pelik, dia ni (Danial Ashraf) teruk sangat ke? Dulu masa Endrick Santos tiada, dia ni lah jadi ganti.

"Dulu pernah keluar artikel Danial Ashraf as shadow striker lepas tu hilang, naik balik bawah Manzoor Azwira (bekas jurulatih Penang) tapi sekarang hilang balik," tulis Penang Brotherhood.

Bersama Penang FC pada musim ini, Danial Ashraf membuat 10 penampilan dengan hanya satu kali tersenarai sebagai pemain skuad utama. Berdasarkan data transfermarkt.com, dia meraih 341 minit permainan setakat ini.

"Danial Ashraf ni bagus...lebih function berbanding kebanyakan pemain sedia ada. Antara supersub terbaik yang Penang ada.

"B*****g apapun tak taulah coach fikir sampai dalam senarai tiada langsung walaupun bangku simpanan. Naya kat dia," kata MI Muzaid.

Melihat keadaan itu, penyokong Penang FC berasakan bakatnya mungkin boleh kembali digilap jika dia beraksi dengan kelab lain.

"Aku lagi suka dia keluar dari Penang, duduk dalam pasukan yang tak tahu hargai bakat dia merugikan dirinya sahaja.

"Kasihan kat dia, rakan sepasukan lain pakat 'blah' keluar tahun ni tapi dia sanggup stay kat sini, akhirnya tak dapat apa," ujar Ayie Azzahari.

Seorang lagi penyokong Penang FC, Muhammad Amir, berasakan mungkin Danial Asyraf lebih baik jika bersama Terengganu FC.

"Dia mau ni mau pi Terengganu FC kerana taktikal jurulatih, Nafuzi Zain memang kena dengan dia... dok Penang FC, jurulatih tak nak pakai... dok lambung bola tak sampai-sampai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram