'Chant' nakal main tanpa penjaga gol iringi JDT ke final Piala FA


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Perlawanan tersebut dihiasi dengan laungan nakal 'chant' daripada penyokong tuan rumah. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) seperti sedang melakukan latihan terbuka apabila berjaya menewaskan Penang FC 6-1 dalam perlawanan separuh akhir Piala FA 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Pengendali baharu JDT, Héctor Bidoglio bertindak melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utama skuad Harimau Selatan apabila tidak menurunkan Matthew Davies dan menggantikannya dengan Adam Nor Azlin.

Pada minit ke-19 penyerang import JDT, Bergson da Silva berjaya membuka akaun jaringan dengan melepaskan satu rembatan deras ke dalam gawang gol lawan selepas bola tidak berjaya diselamatkan oleh Hafizul Hakim.

Selang beberapa minit selepas itu, Fernando Forestieri menambah derita pasukan pelawat apabila menyambut hantaran tandukan Shane Lowry dalam kotak penalti dan terus melakukan sepakan voli.

297730660_2355508514612434_8756295511668716261_n

Kemenangan ini membawa skuad JDT ke pentas final Piala FA 2022 selepas kali terakhir menjuarainya pada 2016 menewaskan PKNS FC. Facebook/JDT

Tamat separuh masa pertama, pasukan Penang gagal melakukan sebarang percubaan ke arah gawang gol JDT.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk mengandakan jaringan apabila pemain sayap Arif Aiman menerima lorongan daripada Forestieri sekali gus melepaskan satu rembatan kencang ke arah gawang gol lawan.

Arif Aiman menyempurnakan jaringan hatrik pertamanya dalam kempen Piala FA 2022 pada minit ke-51 dan minit ke-62 hasil gerakan lincah yang dipamerkan.

Pasukan Penang cuba bangkit melalui jaringan gol saguhati hasil tandukan pemain import, Lucas Silva pada minit ke-54.

Perlawanan tersebut dihiasi laungan nakal 'chant' daripada penyokong tuan rumah yang mengusik pemain-pemain pasukan Penang FC selepas mereka ketinggalan 5-1.

Penyokong JDT juga melaungkan supaya pasukan mereka bermain tanpa penjaga gol ini kerana skuad Harimau Kumbang gagal memberikan banyak percubaan dalam kawasan pertahanan Harimau Selatan.

296908356_2355461711283781_2947799631643213366_n

Penang cuba bangkit melalui jaringan gol saguhati hasil tandukan Lucas Silva pada minit ke-54. Facebook/JDT

Di media sosial pula, penyokong Penang FC meluahkan rasa kecewa apabila melihat corak pemainan skuad Harimau Kumbang yang tidak mampu menyamai kualiti taktikal JDT.

"Dah pesan awal-awal, kalah biar bermaruah ini main macam tak kena bayar gaji lagi," kata Zheik Mirul.

"Saya sedih sungguh tengok pasukan Penang main, punya teruk ya amat, sampai tahan bola pun tak reti, hari-hari training, hari-hari dengan bola, takkanlah seteruk ini main," ujar Md Azrie.

"Kalau kalah dengan bermain mati-matian tak apa, ini nak kejar bola pun malas, hanya tunggu bola sampai.. bila dah dapat sepak pula kelaut, lebih baik bagi budak-budak projek FAM main, dia orang lagi semangat dan laju," jelas Mohd Asri.

Kemenangan ini membawa skuad JDT ke pentas final Piala FA 2022 selepas kali terakhir menjuarainya pada 2016 apabila menewaskan PKNS FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, Chant, Piala FA 2022, Penang FC, Penyokong