Aura Arif Aiman terlalu hebat, gadis kantoi dirakam live TV, 'Satu Malaya dah kenal kau'


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Reaksi gadis berkenaan yang dilihat sangat serius hingga menjuihkan bibir benar-benar mengundang gelak besar penonton.

SELEPAS menumpaskan pasukan KL City 5-0 pada 1 Ogos lalu, skuad Harimau Selatan pada pusingan separuh akhir Piala FA sekali lagi ‘membantai’ Penang FC dengan jaringan 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.

Ini sekali gus melayakkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berentap di pentas final yang berkemungkinan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada perlawanan tersebut, pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi berjaya mempamerkan aksi yang baik sekali gus melakar jaringan hatrik sebelum digantikan oleh rakan sepasukannya, Safawi Rashid.

Pemain berusia 20 tahun ini bukan sahaja menarik minat pelbagai kelab dalam dan luar negara, tetapi dia juga berjaya mencuri tumpuan gadis-gadis yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan tersebut.

Ini kerana ketika pemain muda itu sedang berehat di kerusi simpanan, kamera yang sedang membuat siaran langsung perlawanan tersebut sempat merakam gelagat seorang gadis yang gigih mengambil gambar Arif yang berada di hadapannya ketika itu.

Reaksi gadis berkenaan yang dilihat sangat serius hingga menjuihkan bibir mengundang pelbagai reaksi penonton yang menyaksikan siaran langsung di kaca televisyen semalam.

Video berkenaan juga tular di media sosial dengan rata-rata orang ramai meninggalkan komen lucu kerana mereka tidak dapat menahan tawa melihat gelagat gadis tersebut.

"Cameraman pun sengaja fokus lama-lama dekat budak itu. Nasib kaulah adik,” usik Solehin Bakri.

"Gigih betul dia ambil gambar, sampai muka masuk dalam TV pun tak perasan. Apa-apa pun memang terhibur tengok gelagat dia, nak ambil gambar punya pasal kan," Helmi Faiz.

"Bayangkan dia tengok Facebook semua share gambar dia, satu hari nanti kau akan terkenal adik, bukan satu stadium sahaja satu Malaya dah kenal kau," ujar Mohd Fakhrul.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang memalukan dan orang ramai sekadar terhibur melihat pelbagai karenah peminat ketika menonton pasukan bola sepak kegemaran mereka bermain di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram