Hatrik ke final Piala FA, ramai 'claim' Arif Aiman anak jati Pantai Timur


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Arif Aiman merupakan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai ABK 2021. — Agensi

GOL hatrik pemain muda, Arif Aiman Hanapi menjadikannya watak penting dalam kemenangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Penang FC, Jumaat.

Pemain paling bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK 2021) tersebut meledakkan gol pertamanya musim ini pada minit ke-48 perlawanan.

Selang tiga minit selepas jaringan itu terhasil, pemain berusia 20 tahun tersebut sekali lagi menambah derita pasukan pelawat apabila terus memalukan penjaga gawang Penang, Hafizul Hakim dengan satu lagi gol.

Arif memastikan JDT kekal selesa mendahului di hadapan apabila berjaya memanfaatkan hantaran pendek Bergson Da Silva dengan satu percubaan yang akhirnya menembusi jaring pada minit ke-62 permainan.

Tiga jaringan Arif membolehkan JDT meraih kemenangan besar 6-1 menewaskan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan sekali gus pasukan Harimau Selatan melangkah ke pentas akhir Piala FA dengan penuh bergaya.

Untuk makluman, tiga lagi gol JDT disumbangkan oleh Bergson, Fernando Martin Forestieri dan Muhamad Syahmi Safari manakala gol saguhati Penang FC dijaringkan oleh Lucas Espindola Da Silva.

Aksi seorang gadis cuba mengambil gambar Arif pada jarak turut dekat mencuit hati warganet.

Aksi bergaya Arif menjadikannya topik hangat di media sosial apabila rata-rata penyokong bola sepak tempatan sibuk menggali latar belakang pemain itu.

"Arif Aiman tu anak jati Pahang ke Kelantan? Kenapa penyokong negeri lain macam semangat claim anak jati ini?", soal Fairuz Hashir.

Mohammad Aasyraf pula membalas "Arif Aiman lahir di Pahang. Mak ayah dia Kelantan. DNA Pantai Timur memang padu. Orang Pahang dan Kelantan adalah satu bangsa yang sama. Luaskan kuasa mu anak jati Pantai Timur," katanya.

Shaiful Izhar nenambah "Masa budak tu tidak ada nama tidak ada pula nak claim. Dah berjaya, habis sana-sini claim. Pasukan sendiri ke laut, terpaksa claim pemain pasukan lain.

Muhamad Afiq Danial menambah "Ingatkan bangsa J, rupanya anak Pahang dia ini," katanya. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram