Wira Sang Penyu berterima kasih kepada sumber inspirasi jaga gawang


  • Podium
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Rahadiazli berjanji akan berikan terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022. — Facebook TFC

SKUAD di bawah bimbingan Nafuzi Zain, Terengganu FC (TFC) berjaya mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan penalti setelah kedudukan terikat 1-1.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu itu menyaksikan penjaga gol skuad Penyu, Rahadiazli Rahalim muncul menjadi wira selepas berjaya menepis sepakan penalti dari Aliff Haiqal Lau dan Yazan Al Arab.

Bintang muda yang baru menjangkau 21 tahun itu sememangnya pantas diberikan pujian dan selayaknya mendapat Man Of The Match pada aksi menentang The Red Giants.

Selepas perlawanan itu, penjaga gol berketinggian 1.92 meter itu menyatakan kejayaan yang diperolehi itu merupakan hasil tunjuk ajar dan pesanan daripada ayah tercintanya.

Walaupun dijulang sebagai pemain terbaik pada aksi separuh akhir Piala FA itu, Rahadiazli masih merendah diri dengan menyatakan kejayaan itu adalah hasil semua ahli pasukan TFC.

WhatsApp Image 2022-08-07 at 4.33.21 PM

TFC berjaya memberikan senyuman kepada penyokong TFC dengan mara ke peringkat akhir. — Facebook TFC

“Sebenarnya saya tak anggap saya wira pun. Sebab kami bangkit dari 1-0. Saya anggap kami semua wira.

“Sepakan penalti itu, saya berterima kasih kepada ayah saya yang banyak beri tunjuk ajar. Dia macam orang kata mereka ada dua kaki, kami ada dua kaki.” katanya dalam satu wawancara bersama Malaysian Football League.

Bakal bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT), bekas pemain skuad Piala Belia TFC itu berjanji akan berikan terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022.

“InsyaALLAH kami akan berlatih dan buat persediaan dengan secukupnya. InsyaALLAH kami beri yang terbaik,” jelasnya.

Selain Rahadiazli, penyerang TFC Faisal Halim juga diangkat sebagai wira pada perlawanan menentang pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner.

tfc

Antara detik pasukan TFC memberikan tanda penghargaan kepada lebih 30,000 penonton yang hadir ke Stadium Mizan Zainal Abidin. — Facebook TFC

Hasil jaringan dari Faisal Halim pada minit ke-48 berjaya menyamakan kedudukan satu sama dengan Selangor.

Perlawanan yang diceriakan oleh lebih 30,000 penonton tuan rumah itu menyaksikan TFC mara ke final selepas kali terakhir pasukan itu layak ke pentas akhir ialah pada 2011 di bawah bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram