KEMENANGAN Kelantan FC ke atas skuad projek MSN-FAM 1-0 dalam saingan Liga Premier pada Jumaat bukanlah satu tiket untuk mereka mendabik dada.
Turun dengan misi meraih mata penuh, tuan rumah bagaimanapun 'dirantai' rapi oleh Skuad Projek FAM-MSN apabila berjaya mematahkan setiap serangan dilakukan oleh barisan pemain The Red Warriors (TRW).
Hanya apabila mencecah minit ke-76, pemain gantian, Abdul Latiff Suhaimi berjaya menceriakan kem TRW apabila memanfaatkan peluang yang terhasil untuk meledakkan gol tunggal mereka.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai fungsi ketiga-tiga pemain Import yang diturunkan pada perlawanan tersebut.
Mana tidaknya, skuad projek MSN-FAM rata-rata berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 20 tahun sekali gus sinonim dengan gelaran 'budak lepasan sekolah'.
Di atas kertas, Kelantan yang tampil sebagai pendahulu liga dilihat memiliki peluang besar untuk berpesta gol memandangkan kelebihan berpihak kepada mereka.
Sebaliknya, Kelantan FC hampir dimalukan di laman sendiri sebelum gol di minit terakhir menyelamatkan mereka dari situasi tersebut.
Kekecewaan ini turut dikongsi oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang merasakan pasukan tersebut mampu mempamerkan aksi yang lebih mantap dan bertenaga.
"Menang, tapi hari ini saya kurang puas. Maafkan pasukan TRW. InsyaAllah, permainan seterusnya akan lebih baik. Apapun, Alhamdulilah. Tiga mata," katanya.
Felipe wajar dikekalkan untuk musim akan datang. — Facebook/ TRW
Menilai kepada prestasi pemain import dari Brazil, Felipe Hereda menunjukkan aksi konsisten setakat ini dan wajar ada di dalam pasukan untuk dua dan tiga musim akan datang.
Kehadiran pemain tengah berusia 28 tahun itu dilihat mampu membantu pasukan Kelantan untuk menguatkan lagi benteng pertahanan mereka.
Dalam satu temubual bersama media tempatan, ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambry mengakui Felipe sudah menunjukkan 'kematangannya' dengan pasukan tersebut.
Kenta menunjukkan usaha, tapi masih tidak ada hasil. — Facebook/ TRW
Sementara itu, pemain sayap dari Jepun, Kenta Hara dilihat masih lagi mencari rentaknya bagi menyesuaikan diri dengan pasukan tersebut.
Usaha Kenta cuba untuk lolos ke gawang gol lawan pada 20 minit awal perlawanan menentang 'budak lepasan sekolah' harus dipuji.
Namun persoalannya, sampai bila Kenta yang mula bersama TRW sejak Jun lalu harus diberi peluang sebelum mampu menunjukkan potensi sebenar?
Nixon (kiri) kelihatan 'malas' ketika beraksi di atas padang. —Facebook/ TRW
Dalam pada itu, status seorang lagi pemain, Nixon Guylherme yang masih dibelengu masalah kecederaan nampaknya perlu dipertimbangkan.
Sebagai pemain penyerang tengah, Nixon dilihat seakan-akan acuh tak acuh ketika menghantar bola dan hanya 'berseronok' di atas padang.
Menerusi perbualan di ruangan komen media sosial, Norizam seakan bersetuju apabila ada peminat mengkritik prestasi Nixon. Nixon sudah perlu 'alert' dengan 'hint' tersebut.
Mungkin selepas ini, Norizam boleh cuba pancing bakat import dari Vietnam pula? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram