HARAPAN peminat untuk menyaksikan Selangor FC beraksi di perlawanan peringkat akhir Piala FA tidak kesampaian apabila pasukan itu tumpas di tangan Terengganu FC dalam perlawanan separuh akhir pada Sabtu.
Pertembungan itu bagaimanapun menyaksikan perlawanan seimbang antara kedua-dua pasukan yang saling berbalas serangan sebaik sepak mula bagi memburu gol pembukaan.
Perlawanan berkenaan diheret hingga ke penentuan sepakan penalti dan nasib tidak menyebelahi pasukan Selangor FC apabila mereka tewas dengan kiraan gol 2-4.
Terengganu FC bakal membuat perhitungan dengan pasukan JDT pada perlawanan akhir Piala FA. — Agensi
Terkesan dengan kekalahan itu, penyokong 'Gergasi Merah' seakan-akan sudah lali dengan keputusan terbabit apabila kebanyakan mereka merasakan ianya sesuatu yang wajar daripada dimalukan Johor Darul Takzim (JDT) di perlawanan akhir.
Meskipun tidak layak, keputusan tersebut dianggap lebih berbaloi kerana rata-rata penyokong seakan sudah tidak sanggup menahan malu yang lebih besar sekiranya sekali lagi tewas di tangan JDT pada musim ini.
Salah seorang penyokong Gergasi Merah, Jeff Last berpendapat jika Selangor FC layak ke peringkat akhir, berkemungkinan akan tewas dengan jumlah gol yang lagi besar.
"Elok la tewas sekarang, lawan JDT nanti berapa guni pula nak kutip bola dalam gawang gol.
"Selagi taktikal DNA German (Michael Feichtenbeiner) tu macam ni, selagi tu la kegagalan sentiasa melambai pasukan Selangor FC," ujarnya di laman Facebook.
Seorang lagi penyokong Selangor FC, Mohd Nurulhisyam berpendapat DNA German dan kesemua barisan jurulatih perlu dibubar serta-merta.
"Boleh bungkus semua dah, pengurusan pasukan dengan jurulatih ala-ala DNA German tu semua badi kekalahan," katanya.
Untuk rekod, Selangor FC dibelasah JDT 1-5 dalam saingan Liga Super pada Jun lalu dan akan bertembung semula dalam aksi timbal balik pada September depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram