Bintang La Liga buruan TMJ perkuat JDT musim hadapan?


  • Podium
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti akan menambah kekuatan skuad Harimau Selatan. — Agensi

BARU sahaja membelasah skuad Harimau Kumbang 6-1 dalam perlawanan Piala FA 2022, nampaknya JDT sudah pun memulakan perancangan menambahbaik pasukan untuk saingan musim hadapan.

Umum mengetahui, JDT sudah mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) tahun ini, sekali gus menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang melangkah ke pusingan tersebut.

Selepas berjaya memasuki pusingan tersebut JDT pastinya mahu menambah baik pencapaian mereka pada edisi ACL mendatang.

Demi mencapai sasaran tersebut, pemain-pemain berkualiti perlu ditandatangani untuk sama-sama membawa pasukan JDT terbang lebih jauh.

Terkini, pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim(TMJ) berkata, kelab itu menyasarkan untuk membawa masuk bintang kebangsaan Argentina, Papu Gomez yang ketika ini bersama kelab Sevilla.

WhatsApp Image 2022-08-06 at 1.22.12 PM

Tangkap layar Twitter TMJ. Agensi

Cadangan untuk membawa pemain itu ke bumi Johor pada musim hadapan dikongsi oleh TMJ melalui satu ciapan balas kepada seorang pengguna Twitter, Marco Negeri berkenaan status bekas pemain, Juan Martin Lucero.

"Saya tidak pasti, atau mungkin Papu Gomez dari Sevilla. Anda tidak akan tahu (apa akan berlaku). Sememangnya sudah ada perancangan dilakukan untuk memperkuatkan skuad musim hadapan. Kita akan lihat,” tulis TMJ.

papugomeztrophy

Gomez menjulang Piala Copa Amerika pada 2021. Agensi

Siapakah Papu Gomez?

Alejandro Dario Gomez atau lebih dikenali sebagai Papu Gomez ialah pemain pasukan kebangsaan Argentina yang baru sahaja menjulang Piala Copa Amerika pada 2021.

Gomez merupakan seorang pemain yang boleh beraksi sebagai penyerang, pemain sayap dan pemain tengah.

Pemain berusia 34 tahun ini banyak menghabiskan karier sebagai pemain bola sepak di negara Eropah seperti Liga Ukraini, Itali dan Sepanyol.

Dia juga pernah menyarung jersi pasukan San Lorenzo (Argentina), Metalist Kharkiv (Ukraine), Atlanta (Itali) dan kini Sevilla (Sepanyol).

Papu-Gomez-Sevilla-e1618246518718

Gomez kini beraksi di La Liga bersama kelab Sevilla dan sudah meledak lapan gol dalam 47 penampilan buat kelab itu. Agensi

Pemain Argentina itu merupakan pemain tengah menyerang serba boleh yang mampu digunakan di bahagian tengah mahupun di kawasan sayap.

Gaya permainannya adalah berdasarkan pergerakan tanpa bola, hantaran kreatif dan kebolehan jika sedang memegang bola.

Dalam tempoh tujuh tahun sebagai pemain Atalanta di Serie A, dia berubah menjadi pemain utama buat kelab itu dan mempunyai peranan penting dalam pendekatan menyerang yang dibawah kendalian Gian Piero Gasperini.

Dia juga rajin untuk membantu rakan sepasukan di setiap ruangan ketika bertahan yang mana mampu membentuk serangan ke atas pihak lawan semasa peralihan pertahanan.

Papu-Gomez2

Gomez berubah menjadi pemain utama buat kelab Atlanta dan mempunyai peranan penting dalam aspek menyerang. Agensi

Menurut laman sesawang Transfermarkt, sepanjang bergelar pemain bola sepak, Gomez melakukan 608 penampilan berserta 114 jaringan gol dan 112 assist dalam setiap kelab yang diwakilinya.

Untuk rekod, Gomez kini beraksi di La Liga bersama kelab Sevilla dan sudah meledak lapan gol dalam 47 penampilan buat kelab itu.

Kehadiran pemain lincah ini sudah pasti akan menambah kekuatan skuad Harimau Selatan itu apatah lagi mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas tertinggi Eropah.

JDT sebelum ini turut menandatangani bekas pertahanan Swansea City di Liga Perdana Inggeris (EPL), Jordi Amat dan kehadiran Gomez pastinya beri keseimbangan buat juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JDT, TMJ, Papu Gomez, Twitter, Perpindahan, ACL, Sevilla, Atlanta