Nafuzi teruja jumpa JDT, dedah 2 kunci kejayaan TFC mara ke final Piala FA


  • Podium
  • Ahad, 07 Ogos 2022

TFC meraikan kejayaan selepas berjaya menumpaskan pasukan Selangor FC pada saingan separuh akhir Piala FA. — Facebook TFC

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain berkata, keyakinan tinggi serta semangat enggan mengalah pemain menjadi kunci kejayaan pasukannya mara ke pentas akhir Piala FA, Sabtu.

Menurut jurulatih berusia 44 tahun itu, beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada anak buahnya yang telah memperagakan persembahan terbaik dan berjuang sehingga detik akhir perlawanan bagi memastikan mereka ke Stadium Bukit Jalil musim ini.

Kata beliau, semua pemain berjaya memainkan peranan masing-masing walaupun dalam keadaan penuh tekanan serta perlawanan berintensiti tinggi di hadapan lebih 30,000 penonton di laman sendiri.

"Daripada babak pertama sehingga masa tambahan, satu sahaja saya ingatkan pemain supaya yakin dan percaya bahawa kita boleh capai kejayaan dan tiada yang mustahil.

"Secara keseluruhan, semua pemain memberi sumbangan yang bagus. Ia bukan tugas mudah kerana mereka (pemain) perlu mempunyai kekuatan fizikal serta mental yang kuat," katanya selepas perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu.

TFC 2

Kejayaan TFC itu disaksikan oleh lebih 30,000 penonton di laman sendiri. Bernama

Terengganu berjaya melangkah ke perlawanan akhir piala itu selepas menewaskan skuad The Red Giants 4-2 menerusi penentuan penalti.

Kali terakhir pasukan itu layak ke pentas akhir ialah pada 2011 di bawah bimbingan ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, beliau amat teruja kerana bakal berhadapan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA musim ini.

"Sebelum ini kami hanya bertemu di pusingan separuh akhir, suku akhir. Ia satu tekanan kerana skuad Penyu selalu terkandas di situ.

"Saya sendiri secara peribadi memang berharap untuk bertemu JDT di pentas akhir dan alhamdulillah ALLAH dah makbulkan permintaan," katanya yang turut mendedikasikan kejayaan manis tersebut kepada penyokong bola Terengganu.

Sementara itu, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner akur dengan kekalahan tersebut dan tetap memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan anak buahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram