Setuju Tengku Arif jadikan TMJ 'role model', tapi ambil kira 4 faktor anak raja kendali kelab


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Rata-rata penyokong Pahang mahu Tengku Arif Bendahara menjadi pemilik Sri Pahang FC. — Twitter

KEJAYAAN Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawa kelab Johor Darul Takzim (JDT) ke peringkat lebih tinggi dalam arena bola sepak tempatan, sememangnya suatu perkara yang tidak boleh disangkal lagi.

Sehingga kini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan pemilik JDT sejak 2016, masih mampu mengekalkan momentum kelab itu sebagai juara Liga Super sejak 2014 sehingga 2021.

Bukan itu sahaja, JDT juga pernah menewaskan dua kelab gergasi, iaitu Guangzhou FC dan Ulsan Hyundai dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada April lalu.

919C614A-3D0C-4DC9-AFDB-C9E6127EEC01

JDT meraikan kejayaan selepas memenangi juara Liga Super pada 2018. — Bernama

Malah, kelab itu kini memiliki stadium sendiri iaitu Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor yang setanding dengan Liga Eropah.

Kagum dengan kejayaan JDT, rata-rata penyokong Sri Pahang FC mahu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah supaya mengikut jejak langkah TMJ sebagai pemilik skuad Tok Gajah.

Hal ini kerana anakanda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu dilihat mempunyai jiwa kesukanan begitu mendalam dalam sukan bola sepak.

1557082

Pekan menggariskan empat faktor kepada anak raja sekiranya mahu memiliki pasukan bola sepak. — Sinar Harian

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Datuk Dr. Pekan Ramli tidak menolak kenyataan bahawa, terbukti sudah ada 'benchmark' yang tinggi dalam sukan bola sepak apabila dikaitkan dengan anak raja.

Lantaran itu, penganalisis sukan itu mengalu-alukan Tengku Arif Bendahara untuk menjadikan TMJ sebagai 'role model', namun ia perlu disertakan dengan empat faktor yang saling berkaitan.

Faktor tersebut adalah; wealth (kekayaan), power (kuasa), passion (minat) dan image (imej).

Beliau berkata, terdapat anak raja berminat terhadap bola sepak namun, tidak memiliki kekayaan yang boleh dijadikan sebagai capital atau modal untuk memulakan pelaburan dalam sukan itu.

Menurutnya, faktor kewangan yang stabil perlu supaya golongan elit itu tidak perlu bergantung atau berharap untuk mendapat pulangan daripada pelaburan itu dengan cepat.

"Mereka perlu tahu bila 'dump in' duit kepada pasukan bola sepak ini ibarat belanja hangus.

"Jadi kalau tak cukup kekayaan untuk terbabit dalam bola sepak, tentu mereka boleh mencari alternatif lain.

"Saya juga yakin tidak ramai anak raja yang boleh mengikut jejak langkah TMJ berasaskan kepada faktor 'wealth' itu tadi," katanya kepada Majoriti.

template (26)

Tengku Arif Bendahara (kanan) bergambar bersama ayahanda baginda. — Twitter

Namun, Pekan berkata, ini tidak bermakna seseorang anak raja itu tidak boleh menjadi peneraju pasukan bola sepak sekiranya tidak mempunyai kekayaan.

Ini kerana, katanya, anak raja atau kerabat raja pada suatu ketika dahulu mengamalkan konsep menggunakan kuasa untuk mendapatkan sumber tajaan, bagi menampung kewangan sesebuah pasukan atau kelab bola sepak.

"Dengan kuasa yang ada pada anak raja ini pasti menjadi suatu tarikan oleh syarikat atau pemain-pemain industri untuk turut menyalurkan dana menerusi tajaan dan sebagainya," katanya.

Bercakap mengenai faktor imej, menurutnya, pembabitan anak raja dalam sukan bola sepak merupakan satu gambaran imej yang perlu dijaga.

Katanya, anak raja sudah pasti akan menggunakan tiga faktor lain itu iaitu kekayaan, minat dan kuasa secara saling berganti.

"...dan memastikan imej mereka tidak tercalar disebabkan pasukan berhutang gaji dan sebagainya kepada pemain," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram