'Imam Muda' tak makan saman, siap minta TMJ kembali baca buku


  • Massa
  • Rabu, 13 Jul 2022

Ciapan tersebut dibuat bagi membalas kenyataan Tunku Mahkota Johor pada Selasa lalu.—Facecook/JOHOR Southern Tigers

AHLI Jawatankuasa Pusat Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Khairi Zulfadhli menyarankan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menutup akaun Twitter.

Saranan yang dibuat melalui akaun Twitter peribadinya iaitu @khairizulfadhli disertai dengan cadangan supaya Tunku Ismail kembali membaca buku.

Menurut sosok yang dikenali sebagai Imam Muda Khairi tersebut, buku pertama yang perlu dibaca oleh Tunku Ismail adalah buku sejarah dan diikuti buku undang-undang.

Khairi turut menawarkan bantuannya, sekiranya Pemangku Raja Johor mahukan pandangannya untuk mencadankan buku yang perlu dibaca baginda.

Kenyataan yang boleh dianggap biadab terhadap institusi raja tersebut ditulis sebagai balasan kepada ciapan asal yang dimuat naik pemilik Kelab Bola Sepak, Johor Darul Takzim (JDT), pada Selasa lalu.

WhatsApp Image 2022-07-13 at 12.30.19 PM

Tangkap layar ciapan yang dimuatnaik Khairi Zulfadhli—Twitter

Dalam ciapan baginda semalam, Tunku Ismail memberitahu Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak mengendahkan perkara remeh dan sebaliknya fokus untuk menjalankan tugasnya.

Komen Tunku Ismail itu dibuat selepas netizen melihat Menteri Besar Johor itu memakai sepasang kasut yang dikatakan berharga kira-kira RM40,000.

Sebagai respon kepada kekecohan yang dicetus warganet tersebut, Tunku Ismail secara sinis menyindir dengan menyarankan Onn Hafiz untuk hanya memakai selipar.

“Saya baru terfikir untuk menghadiahkan jam tangan kepada Datuk dan beberapa pegawai kerajaan lain. Perkara sebegini pun boleh jadi isu,” titah baginda dalam satu ciapan di media sosial rasminya.

Ini bukan kali pertama Khairi membuat kenyataan berani yang boleh menyebabkannya didakwa di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 pada April lalu.

Pada bulan sama, Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Khalil Idham Lim Abdullah membuat dua laporan polis berkenaan hantaran yang dimuat naik Khairi yang didapati amat berbahaya kerana beliau merupakan seorang individu berpengaruh.

Hantaran tersebut menyebut, “Ringgit jatuh, ibu kota banjir, kerajaan korup, pencuri makan dengan raja, ayam sekilo 9 ringgit, rumah mahal, gaji murah, Menteri beruk, Perdana Menteri lembik. Kadang-kadang aku kecewa dengan negara sendiri”.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram