Siapa bakal ke final Piala FA? 4 bintang pengubah nasib pasukan


  • Podium
  • Jumaat, 05 Ogos 2022

Perlawanan separuh akhir Piala FA 2022 akan berlangsung pada 5 dan 6 Ogos 2022.

MENJELANG perlawanan separuh akhir Piala FA 2022 melibatkan pasukan Terengganu FC (TFC) bertemu Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Penang FC pastinya membuatkan penyokong bersemangat untuk tampil memberi sokongan bagi kelab kesayangan masing-masing.

Pertemuan antara JDT dan Penang akan menjadi perlawanan pembuka tirai separuh akhir Piala FA pada Jumaat, manakala TFC dan Selangor akan berentap pada Sabtu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Seperti yang sedia tahu, Penang FC pada musim ini mengalami masalah konsistensi perlawanan dan JDT dilihat semakin kukuh dalam persaingan domestik dan antarabangsa serta sangat tajam di bahagian serangan.

Perlawanan tersebut pastinya akan menjadi satu perlawanan tumpuan kerana jurang kekuatan kedua pasukan ini dilihat agak jauh.

Beralih ke pantai timur antara perlawanan Terengganu dan Selangor, pertembungan dijangka berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan turut memburu tiket beraksi di Piala AFC musim depan jika berjaya muncul sebagai juara.

Ini merupakan 4 pemain tumpuan bagi setiap pasukan yang bertanding:

Bergson

Bergson sudah menjaringkan 16 gol dalam 13 perlawanan Liga Super dan tersenarai di antara penjaring terbanyak liga ketika ini. Facebook/JDT

1. Bergson da Silva (JDT)

Jaringan masa kecederaan Bergson membolehkan JDT mara ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 23 Julai (Sabtu).

Pemain import yang berasal daripada Brazil itu berjaya membawa pasukan JDT menjuarai Liga Super pada musim lepas serta Piala Sumbangsih 2022 dan kini dalam misi untuk memburu kejuaraan Piala FA 2022.

Bergson sudah menjaringkan 16 gol dalam 13 perlawanan Liga Super dan tersenarai antara penjaring terbanyak liga ketika ini.

Ketajaman penyudah berusia 31 tahun itu seringkali meranapkan hasrat pasukan lawan apabila dia mudah membolosi gawang lawan dengan sepakan dan tandukan derasnya.

Gandingan Bergson dan Foresiteri pasti ditagih pengendali baharu JDT, Héctor Bidoglio untuk membawa pasukan mereka layak ke pentas akhir buat kali kedua selepas memenanginya pada 2016 selepas era pengambilan Tunku Mahkota Johor (TMJ).

1683233

Silva sudah menjaringkan 4 gol dalam 4 penampilan bersama skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

2. Lucas Silva (Penang FC)

Lucas Silva menyertai pasukan Penang pada jendela perpindahan kedua bagi menggantikan penyerang import, Casagrande untuk baki saingan musim liga ini.

Walaupun baru sahaja menyertai Penang, Silva tidak menunggu lama untuk menambat hati penyokong Penang FC dengan aksi yang dipamerkannya.

Pemain berusia 32 tahun ini sudah menjaringkan 4 gol dalam 4 penampilan bersama skuad Harimau Kumbang dan dia juga menjadi individu penting semasa kebangkitan pasukan Penang semasa bertemu Pahang pada peringkat suku akhir Piala FA.

Pengalaman pemain ini di rantau Asia tidak boleh dinafikan apabila pernah mewakili beberapa kelab di Hong Kong seperti South China, Eastern SC, Kitchee dan Tai Po malah pernah beraksi di saingan Piala AFC pada edisi 2019.

Bersama Kitchee, dia pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak saingan tertinggi liga Hong Kong untuk dua musim berturut-turut iaitu pada 2017/18 dan 2018/19 yang mana itu merupakan satu pencapaian yang hebat oleh penyerang ini.

Screenshot 2022-08-04 at 19-25-50 Nilai Faisal Halim Ada Bau-Bau 'Pisang Goreng Panas'

Faisal pernah membantu skuad Penyu menewaskan Selangor dalam perlawanan Liga Super. Facebook/Terengganu FC

3. Faisal Halim (Terengganu FC)

Diberi gelaran Cristiano Ronaldo Terengganu kerana aksi lincah dan sorakan 'siuuuuu' daripada penyokong menjadikan Faisal Halim diantara pemain tumpuan yang bakal menghantui benteng pertahanan Selangor pada Sabtu.

Sebelum ini Faisal pernah membantu skuad Penyu menewaskan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 23 April.

Ketika itu, Faisal mendapat umpanan dari Tchetche dalam kotak penalti berjaya memperdaya dua pertahanan Gergasi Merah Kuning sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol pada minit ke-20.

Menurut laman sesawang Transfermarket, Faisal pada musim ini tidak pernah terlepas diletakkan dalam kesebelasan utama dan sehingga kini dia berjaya menjaringkan 3 gol dan 1 assist dalam 11 perlawanan Liga Super.

Kelebihan Faisal ialah dia banyak melakukan larian-larian pantas ketika mengasak kubu lawan dan pemain berusia 24 tahun ini dilihat cukup selesa setiap kali mengawal bola di kaki.

Ancaman kelajuan yang ada pada pemain ini sekali sekala boleh mengucar-kacirkan pertahanan Selangor FC.

8136F310-E73D-43E3-9D81-7118639AD44B

Brendan pasti menjadi tumpuan pihak lawan kerana hantaran dan gerakan yang berbahaya mampu menghasilkan gol buat pasukannya. Agensi

4. Brendan Gan (Selangor FC)

Kapten Selangor, Brendan Gan kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas pulih sepenuhnya daripada kanser testis yang dialaminya sejak Julai tahun lalu.

Kebangkitan pemain warisan Malaysia-Australia ini menjadi salah satu faktor prestasi pasukan Selangor semakin pulih selain daripada desakan penyokong yang mahukan skuad Gergasi Merah layak ke kejohanan pentas Asia tahun hadapan.

Sebelum menghidapi penyakit kanser, Brendan merupakan pemain tengah terbaik dalam Liga Malaysia yang agresif dalam membantu serangan dan pertahanan pasukan ketika bersama Selangor dan skuad kebangsaan.

Pemain berusia 34 tahun kini diletakkan sebagai pemain sayap dalam kesebelasan utama Selangor dan berjaya mempamerkan aksi yang baik dengan hantaran bola ke dalam kawasan pihak lawan.

Pada perlawanan menentang Terengganu nanti, Brendan pasti menjadi tumpuan pihak lawan kerana hantaran dan gerakan yang berbahaya mampu menghasilkan gol buat pasukannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram