TINDAKAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan ke atas Sarawak United FC, semestinya akan menyulitkan urusan Ngap Sayot itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Ini susulan kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva yang berjumlah lebih RM150,000 dan perkembangan mengenai hukuman FIFA itu disahkan oleh peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid.
"Keputusan FIFA sudahpun dikeluarkan jadi mereka harus jelaskan pembayaran itu dalam tempoh masa 45 hari iaitu sehingga 18 Jun lalu. Tetapi mereka gagal melakukannya sehingga tarikh yang dinyatakan," katanya.
Mohd Zhafri berkata, sekiranya perkara itu berlanjutan, ia boleh dibawa ke Jawatankuasa Disiplin FIFA dan hukuman berat boleh dikenakan kepada mereka termasuk penolakan mata atau sekatan untuk mendaftarkan pemain.
Azraai berkata, penyelesaian tunggakan gaji pemain menunjukkan tahap profesional sesuatu majikan. — NSTP
Tampil bersuara mengulas isu tersebut, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, tunggakan gaji pemain merupakan tanggungjawab sesuatu majikan untuk membuat penyelesaian.
Bekas jurulatih Kedah itu berkata, ia juga membuktikan tahap profesional sesuatu majikan atau pengurusan tidak kira apa jua jawatan yang disandang.
"Sekali dah sanggup bawa team anda kena ada sikap profesional dan kena ada tanggungjawablah.
"Sikap ni bagi liga kita sangat memalukan di Asia ketika ini," katanya kepada Majoriti.
FIFA mengenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan ke atas Sarawak United FC. — Facebook/ Sarawak United FC
Ketika ditanya mengenai ura-ura bahawa pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijangka memberi bantuan berhubung tunggakan gaji kepada pemain Sarawak United FC, Azraai berkata, Tengku Mahkota Johor (TMJ) juga mempunyai komitmen lain untuk diselesaikan.
"Tapi, Alhamdulillah kalau baginda sanggup (bantu) yang ni.
"Sekarang ni nak harap siapa boleh tolong? Takkan nak harap TMJ sahaja?" soalnya.
Sebelum ini, TMJ mendedahkan, beliau ada memberi sedikit sumbangan kepada pengurusan Perak FC untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan itu.
Pada masa sama, Azraai mengakui bahawa tunggakan gaji akan memberi tekanan kepada seseorang pemain disebabkan pelbagai komitmen
"Sesiapa pun ada perasaan dan keperluan masing-masing. Mereka ada komitmen, ada anak isteri dan macam-macam loan (pinjaman) nak kena bayar.
"Untuk isu ini, bagi saya, satu perkataan sahaja iaitu tak profesional," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram