Kerabat diraja bukan punca bola sepak lingkup — Pakar


  • Podium
  • Isnin, 25 Jul 2022

JDT kini merupakan pasukan paling berjaya di Malaysia dan mula disegani dalam rantau asia. — Facebook / JDT

TRANSFORMASI yang dilakukan oleh Tengku Makhkota Johor (TMJ) terhadap pasukan Johor Darul Takzim (JDT) berjaya menarik minat beberapa individu kerabat diraja untuk mengambil alih kelab-kelab bola sepak dalam negara.

Langkah TMJ turut diikuti oleh Raja Muda Selangor (RMS) apabila mengambil alih tampuk kepimpinan Selangor FC pada 2018 selepas desakan penyokong-penyokong Gergasi Merah Kuning yang mahukan kejayaan segera.

Sebelum ini Tengku Muhammad Shah yang merupakan putera kepada Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah seolah-olah memberikan gambaran untuk mengambil alih pasukan Pahang pada tahun ini selepas beliau menamatkan kursus tenteranya.

Dalam senario bola sepak Malaysia, pasukan Harimau Selatan sering terpalit dengan kontroversi apabila penyokong-penyokong mendakwa TMJ mengawal segala perancangan dan perjalanan liga negara ini.

TMJ

JDT sering terpalit dengan kontroversi apabila penyokong mendakwa TMJ mengawal perancangan liga negara ini. Facebook / JDT

Salah seorang penyokong bola sepak tempatan memuat naik satu hantaran di Facebook, mendakwa jika golongan kerabat diraja masih berada di dalam dunia bola sepak negara, kemeriahan bola sepak Malaysia akan terpadam.

"Selagi ada golongan kerabat dalam bola sepak maka akan lingkuplah kemeriahan bolasepak Malaysia, buktinya tengah berlaku sejak kebelakangan ini," tulisnya di Facebook.

PUTRAJAYA 06 NOVEMBER 2019. Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli pada sidang media Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10, di Kementerian Pendidikan Putrajaya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

Pekan Ramli berpendapat bola sepak di negara ini boleh dihancurkan oleh mana-mana individu. Agensi

Bagi pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli, beliau secara peribadi berpandangan, bola sepak di negara ini boleh dihancurkan oleh mana-mana individu dan keindahan sukan itu boleh hilang disebabkan kritikan peminat.

"Pada saya bola sepak Malaysia ini boleh lingkup disebabkan sesiapa saja, terutamanya oleh mereka yang memegang jawatan dalam persatuan atau kelab bolasepak tersebut.

"Malah peminat juga boleh menghancurkan kemeriahan bola sepak jika hanya suka mengkritik secara melulu tanpa ada kritikan membina serta solusi yang revelan," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, kenyataan yang mengatakan pembabitan kerabat boleh menghancurkan bola sepak itu salah kerana kebanyakan dari mereka bukan membuat keputusan secara berseorangan.

"Tidak adil untuk mengatakan pembabitan kerabat boleh melingkupkan bola sepak Malaysia, ini kerana kerabat yang terbabit dalam sukan bola sepak di negara ini, ada yang terbabit sebagai penaung, presiden dan ada yang terbabit sebagai pemilik pasukan atau kelab tersebut.

"Kalau kerabat itu terbabit hanya sebagai penaung atau presiden, saya yakin ia tidak mungkin boleh menjadi perosak atau membuat bola sepak Malaysia hancur kerana ia bukan pemilik pasukan.

"Keputusan selalunya dibuat oleh ahli-ahli majlis atau jawatankuasa yang terbabit," ujarnya.

DpRv3GcUUAEDTaD

RMS mula mengambil alih tampuk kepimpinan Selangor FC pada 2018 selepas desakan penyokong Gergasi Merah Kuning. Facebook / Selangor FC

Menurutnya lagi, individu yang menjadi pemilik kelab bola sepak sudah tentu ingin melihat pasukannya berjaya dan memenangi kejuaraan sebanyak mungkin.

"Justeru sebagai pemilik sudah pasti akan lakukan apa sahaja asalkan pasukan atau kelabnya mendapat kelebihan dan pasti niatnya bukan melingkupkan bola sepak Malaysia tetapi untuk kelebihan dan kejayaan kepada pasukannya.

"Bagi saya, kalau lingkup bola sepak Malaysia bukan kerana kerabat, tetapi kerana mereka yang diberi tanggungjawab tidak menjalankannya dengan adil," jelasnya.

Pasukan Johor FC dan Johor FA sebelum ini diambil alih sepenuhnya oleh kerabat diraja dan dengan pengurusan yang telus, JDT kini merupakan pasukan paling berjaya di Malaysia dan mula disegani dalam rantau asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram