HARI demi hari, ada sahaja luahan kekecewaan daripada penyokong kelab bola sepak tanah air terhadap tindakan pengadil yang bertugas ketika perlawanan Liga Malaysia (M) berlangsung.
Daripada tindakan berat sebelah ketika perlawanan sehinggalah sikap tidak pandai mengawal marah, ada sahaja perilaku pengadil yang kurang disenangii oleh penyokong tempatan.
Isu pengadil ini bukan sahaja ditimbulkan dalam kalangan penyokong, malah pada musim lalu, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengakui sudah tiba masanya untuk saingan Liga M menggunakan VAR selepas prestasi buruk yang dipamerkan pengadil tempatan.
Berikut merupakan lima insiden membabitkan mutu pengadilan yang berlaku sepanjang Liga M musim ini:
1) Negeri Sembilan lawan JDT (4 Mac 2022)
Kapten NSFC, Zaquan Adha yang dilihat meludah dan membaling bid kepada pengadil perlawanan.
Perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang skuad Harimau Selatan mencetuskan kontroversi apabila pengadil memberi masa tambahan mencecah 10 minit.
Gara-gara 10 minit masa tambahan itu, skuad kendalian Benjamin Mora itu berjaya menghasilkan gol kemenangan pada saat-saat akhir melalui sepakan Fernando Forestieri.
Aksi kurang profesional beberapa pemain Skuad Jang turut terakam ketika masing-masing berang dengan tindakan pengadil memberikan masa tambahan sebegitu lama termasuk kapten NSFC, Zaquan Adha yang dilihat meludah dan membaling bid kepada pengadil perlawanan.
2) Sabah lawan JDT (15 Julai 2022)
Kekalahan Sabah FC di saat-saat akhir sewaktu menentang JDT hanya kerana sepakan percuma diberikan oleh pengadil, Mohd Fusser Mad Salleh.
Pengadil perlawanan itu memberikan sepakan percuma kepada JDT di luar kotak penalti Sabah pada minit ke-94.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati pemain Sabah hingga menimbulkan ketegangan apabila penyerang import Sang Badak, Jose Embalo bertindak di luar kawalan terhadap pemain JDT.
3) Kelantan lawan JDT II (22 Julai 2022)
Aksi Liga Perdana antara Kelantan dan JDT II di Stadium Sultan Muhammad IV itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong apabila pengadil perlawanan meniup wisel ketika pemain skuad Kijang Emas dalam keadaan situasi sedang menyerang.
Ketika itu, pemain tengah, Syed Sobri Syed Mohd berada dalam situasi menyerang dan berpeluang menjaringkan gol namun aksi dihentikan oleh tiupan wisel pengadil, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin.
Perkara itu berlaku berikutan kekasaran yang dilakukan pemain JDT II, Mohd Feroz Baharuddin ke atas penyerang import Kelantan, Kervens Bilfort.
4) Sabah FC lawan Selangor FC (23 Julai 2022)
Aksi pengadil yang dilihat seakan menendang kaki Fazly Mazlan.
Pengadil, Suhaizi Sukri yang mengadili perlawanan suku akhir Piala FA membabitkan Sabah dan Selangor, menjadi tular di media sosial atas tindakan yang dilakukannya pada aksi di Stadium Likas itu.
Menerusi klip video yang tular, pertahanan Selangor, Fazly Mazlan melakukan kekasaran terhadap pemain Sabah, Baddrol Bakhtiar yang menyebabkan kapten itu tergolek di atas padang.
Susulan itu, Fazly kemudiannya dilihat bertelingkah dengan pengadil dan terpijak kaki Suhaizi namun pengadil itu dilihat mengangkat kakinya sedikit ke arah pemain Selangor terbabit dengan penyokong mendakwa tindakan itu seperti mahu menendang pertahanan Selangor tersebut.
Suhaizi kemudiannya menjelaskan bahawa tindakannya itu tidak disengajakan, sebaliknya kerana kakinya sakit dipijak.
5) NSFC lawan Selangor (31 Julai 2022)
Luahan penyokong NSFC berhubung isu pengadil.
Meskipun skuad Jang Hobin menundukkan Selangor 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor dalam aksi Liga Super Malaysia 2022 pada Ahad, namun isu pengadil masih dibahas dalam kalangan peminat.
Penyokong NSFC mempersoalkan tiupan wisel pengadil yang dianggap memihak kepada Selangor FC.
Jaringan itu menimbulkan kontroversi apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskom pada mulanya meniupkan wisel tetapi kemudiannya mengubah keputusan untuk mengiktiraf jaringan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram