KEMARAHAN peminat Selangor FC sudah mencapai kemuncaknya akhir selepas menyaksikan pasukan kesayangan mereka sekali lagi tewas, kali ini di tangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan keputusan 2-3 pada aksi Liga Super, Isnin.
Menggunakan saluran @selangorfans_official, para penyokong menggesa agar perubahan segera dilakukan oleh pengurusan pasukan jika mahu skuad Gergasi Merah untuk kembali ke prestasi terbaik.
Menurut penyokong, pihak pengurusan Gergasi Merah yang hanya tahu menabur janji manis dan tiada tindakan drastik dilakukan apabila kelab itu sedang mengalami prestasi yang teruk musim ini.
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa turut bersetuju bahawa pihak pengurusan tidak seharusnya terus mengunci mulut dan membiarkan penyokong meletakkan semua kesalahan di atas bahu ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner semata-mata.
Michael menerima kecaman teruk daripada penyokong setiap kali Selangor tewas. — Agensi
Menurutnya, Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu bersuara agar masalah ini segera dapat ditangani sebelum menjadi barah.
Tambahnya lagi, barisan pemain di Selangor FC memiliki kekuatan yang seimbang, namun kemerosotan prestasi yang mendadak menandakan terdapat 'kanser' dalam skuad Gergasi Merah itu.
"Secara umum di Malaysia, sekiranya pasukan merudum, antara sebab yang kita boleh kenal pasti adalah keengganan pemain senior untuk bekerjasama dengan jurulatih.
"Pemain muda selalunya tidak ada masalah sekiranya ada 'tunjuk ajar' yang betul. Menurut saya, pasukan Selangor memilki barisan kemahiran lengkap sekiranya mahu mendapatkan prestasi yang mantap.
Pasukan Selangor lengkap dari segi kemahiran, namun ada 'barah' didakwa merosakkan pasukan itu. — Agensi
"Bagaimanapun, terdapat 'kanser' yang menghalang perkara itu berlaku. Menurut saya, Raja Muda Selangor (RMS) perlu berkata-kata sesuatu, ini kerana Baginda yang keluarkan duit buat pasukan ini.
"Jika ada isu dengan pemain seperti pemain besar kepala ataupun jurulatih tidak dapat mengawal pasukan, peringkat tertinggi perlu buat sesuatu.
"Bukan menunding jari kepada jurulatih sahaja, perlu lihat pada penolong jurulatih, pegawai dan mereka semua yang dibayar gaji.
"Pasukan Selangor memerlukan forensic auditing yang betul. Untuk lihat adakah kerjasama wujud dalam pengurusan secara keseluruhan.
"Jika tiada kajian mendalam, tidak guna juga kalau rombakan dilakukan sebab tosik atau virus masih lagi ada dalam pasukan tersebut.
"Sebagai contoh dalam pasukan Manchester United, pernah ada isu yang mana pemain senior besar kepala dan tidak bekerjasama dengan jurulatih mereka. Itu menjadi toksik kepada pasukan tersebut," katanya kepada Majoriti.
Tidak mahu menuduh sesiapa, Mohd Sadek juga percaya peminat Selangor berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap kelab itu setakat ini.
Setelah mengharungi 13 permainan, pasukan Selangor kini akur di tangga ketujuh Liga Super apabila sekadar mengutip 16 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram