SELEPAS 16 tahun, akhirnya pemain boling padang berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad kembali meraih pingat gangsa dalam acara singles wanita pada temasya Sukan Komanwel di Birmngham, England pada Selasa.
Atlet kebangsaan berusia 43 tahun itu bangkit daripada kekecewaan setelah tumpas di peringkat separuh akhir, untuk menewaskan pemain Norfolk Island itu 21-10 untuk meraih gangsa di Victoria Park, Leamington Spa, England.
Terdahulu pada saingan separuh akhir hari ini, Siti Zalina tumpas kepada pemain dari Guernsey, Lucy Beere 15-21.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi pemain Australia, Ellen Ryan, yang menumpaskan Beere 21-17 di pentas final.
Kejayaan meraih gangsa individu itu juga adalah keempat bagi Siti Zalina di temasya Sukan Komanwel selepas memenangi kejuaraan singles pada edisi 2002 di Manchester, England, sebelum mempertahankan gelaran tersebut pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.
Siti Zalina juga memenangi pingat emas dalam acara pairs bergandingan dengan Emma Firyana Saroji pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Pasangan Malaysia itu akan turun mempertahankan gelaran tersebut dalam acara pairs bermula Selasa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram