Padah cabul 3 budak, anggota polis dibuang kerja


  • Benua
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Anggota polis itu dilaporkan melakukan jenayah cabul dan rogol pada 10 Julai lalu. — Gambar hiasan

ANGGOTA polis yang bertugas di Balai Polis Tolangohula di Kabupaten Gorontalo, dekat Sulawesi, Indonesia dipecat selepas melakukan jenayah cabul.

Hukuman tersebut diputuskan ke atas Brigpol YS pada mesyuarat Suruhanjaya Kod Etika Profesional (KKEP), dikenali sebagai polis Gorontalo.

Ketua Polis Gorontalo, Kombes Wahyu Tri Cahyono menjelaskan, pertemuan yang diadakan pada Jumaat lalu telah bersetuju dengan pemecatan YS, susulan tindakannya mencabul tiga kanak-kanak di bawah umur.

"Hasil dapatan kod etika polis yang diadakan, YS terbukti secara sah melanggar pasal 13 ayat 1 Peraturan Pemerintah 2003 berkaitan pemecatan pasal 8 Huruf C Nombor 3 dan/atau Pasal 13 huruf di Peraturan Kepolisian Negara Republik Indonesia Nombor 7 Tahun 2022 Tentang Tatatertib Polis," kata Wahyu.

Jelasnya, Suruhanjaya Kod Etika Polis membenarkan kod etika itu diguna pakai ke atas YS, yang dianggap melakukan perbuatan tercela dengan memecatnya sebagai anggota polis.

Tidak duduk diam, katanya, YS turut bertindak memfailkan rayuan berkaitan hukuman tersebut.

"Kemudian, Suruhanjaya Rayuan akan dibentuk untuk meneliti, mengadili dan memutuskan sama ada memo rayuan anggota polis tersebut akan diterima atau ditolak, kita tunggu sahaja prosesnya," katanya.

Wahyu berkata, polis Gorontalo mengambil serius tentang perkara itu, apatah lagi ia menjadi perhatian Ketua Polis Negara, yang memerintahkan supaya kes itu disiasat selain suspek dikenakan hukuman berat.

"Sudah menjadi tanggungjawab Ketua Polis Negara untuk mengenakan tindakan tegas terhadap suspek atas perbuatannya yang tidak beradab sama ada dari segi etika dan jenayah.

"Suspek boleh dipecat tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah menerusi undang-undang yang dikuatkuasakan," kata Wahyu.

Terdahulu, suspek dilaporkan melakukan perbuatan cabul dan merogol tiga kanak-kanak bawah umur pada 10 Julai lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram