POLIS sedang menyiasat sebuah pusat penyembelihan anjing di Jalan Pesapen IV, Sumur Welut, dekat Lakarsantri, Surabaya, Indonesia.
Pegawai penyiasat Balai Polis Surabaya, Inspektor Raka Bima Grimaldi berkata, anjing-anjing itu dibunuh dengan kejam sebelum dimasak rica-rica, iaitu sejenis masakan tradisional Indonesia.
Katanya, haiwan tersebut akan ditangkap terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam guni dengan mulut diikat, bagi mengelakkan suaranya mengganggu orang awam.
Lebih kejam, Raka berkata, anjing itu digantung dan dipukul sehingga mati.
"Selepas itu, anjing itu dibakar bagi menanggalkan bulunya, manakala kulitnya disiat serta dagingnya dicincang untuk dimasak," katanya.
Tambahnya, proses penyembelihan anjing dilakukan di tingkat dua, manakala proses memasak dilakukan di aras satu.
Hasil siasatan juga mendapati, pemilik pusat penyembelihan itu tidak menjual daging anjing dalam keadaan mentah, sebaliknya hanya dijual sebaik sahaja ia dimasak.
Sebelum ini, sebuah rumah di Surabaya yang menjadi pusat penyembelihan anjing diserbu oleh pencinta haiwan.
Serbuan dilakukan selepas komuniti pencinta haiwan menyamar sebagai pembeli.
Komuniti pencinta haiwan mewakili Yayasan Sarana Metta Indonesia melakukan serbuan itu dengan diiringi pihak polis. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram