Hanya berstokin, Hendrawan memang 'sempoi' hulur kasut kepada pemain Jamaica


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Tangkap layar video memaparkan Hendrawan ketika memberi kasut kepada Samuel.

MESKIPUN berlainan pasukan, Hendrawan tidak memilih bulu bagi memastikan seseorang pemain dapat beraksi dengan baik ketika saingan Sukan Komanwel Birmingham 2022, pada Sabtu pagi.

Semangat kesukanan tinggi ditunjukkan oleh jurulatih badminton negara itu, apabila memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts.

Selain disiarkan secara langsung di kaca televisyen, video mengenai perkara tersebut tular di laman Tiktok.

Dalam kejadian, tapak kasut Samuel yang ketika itu sedang beraksi menentang pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dalam aksi Kumpulan D acara berpasukan campuran koyak.

Perkara itu sekali gus memaksa perlawanan yang berlangsung di National Exhibition Centre, di Birmingham itu dihentikan seketika.

msg676703964-193300

Hendrawan tidak segan silu berstokin bagi membenarkan Samuel meneruskan perlawanan.

Ricketts kemudiannya dilihat memakai kasut sukan biasa (bukan kasut badminton), yang dipinjamkan oleh jurulatihnya daripada rakan sepasukan untuk meneruskan aksi.

Tze Yong turut menawarkan kasutnya tetapi ditolak secara baik lawannya itu mungkin kerana saiz tidak sama, sebelum Hendrawan yang datang dari tempat duduk jurulatih menunjukkan saiz kasutnya kepada Ricketts dan dia bersetuju untuk memakainya, bagi meneruskan aksi dalam perlawanan itu.

Hendrawan pula tidak segan silu kembali ke tempat duduk jurulatih dengan hanya memakai stokin.

Dalam perlawanan itu, Tze Yong tidak berdepan masalah untuk mengatasi Samuel menerusi kemenangan straight set 21-12, 21-16.

Skuad badminton negara menang 5-0 ke atas Jamaica, sekali gus mara ke suku akhir selepas turut merakam kemenangan 5-0 ke atas Zambia dalam aksi pertama kumpulan.

Malaysia akan berdepan Afrika Selatan bagi melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan, pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram