Hoe Yean gagal menyerlah pada aksi sulung, akui gementar


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Hoe Yean kecewa kerana gagal memperbaharui rekod kebangsaan 3:48.72s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary. — Bernama

ATLET renang meningkat naik negara Khiew Hoe Yean mengakui kegagalannya menyerlah dalam acara kegemaran - 400 meter (m) gaya bebas - kerana sedikit gementar dengan keghairahan hampir 4,000 penonton membanjiri Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham, England pada Jumaat.

Hoe Yean yang membuat penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 menamatkan saingan acara 400m gaya bebas lelaki akhir di tempat keenam selepas mencatatkan 3 minit 49.95 saat (s).

Atlet berusia 19 tahun itu juga kecewa kerana gagal memperbaharui rekod kebangsaan 3:48.72s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lepas.

"Saya tidak biasa dengan keadaan ini (penonton yang ramai). Saya harap dapat lakukan lebih baik pada temasya Komanwel akan datang (Victoria, Australia).

"Saya mahu lupakan acara hari ini dan fokus sepenuhnya kepada acara seterusnya esok 200m gaya bebas lelaki," katanya kepada Bernama selepas aksi final.

Australia menyapu bersih acara itu menerusi Elijah Winnington memenangi emas dengan 3:43.06s, diikuti Sam Short (3:45.07s) untuk perak manakala gangsa diraih Mack Horton (3:46.49s).

Hoe Yean juga akan beraksi dalam acara 100m gaya bebas dan 200m kuak lentang.

Sementara itu, dalam peringkat separuh akhir acara 50m kuak dada wanita, Phee Jinq En menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan 32.54s, sekali gus tidak layak ke final.

Jinq En menduduki tempat ke-13 daripada 16 perenang selepas dua separuh akhir yang menyaksikan hanya lapan terbaik layak ke final pada Sabtu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram