SKUAD badminton memberikan petanda baik buat Malaysia dalam misi memburu pingat emas apabila layak ke suku akhir dalam kejohanan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.
Pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Joel Angus-Katherine Wynter 21-5, 21-12 dalam aksi pertama perlawanan.
Perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, kemudian meneruskan rentak kemenangan skuad negara dengan kemenangan 21-12, 21-16 ke atas Samuel Ricketts untuk memberikan mata kedua Malaysia.
Goh Jin Wei mengesahkan mata kemenangan Malaysia dalam acara perseorangan wanita apabila turut tidak berdepan masalah untuk mengatasi Tahlia Richardson 21-2, 21-5, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Melengkapkan kemenangan 5-0 skuad negara adalah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.
Seterusnya, skuad badminton negara akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan berdepan Afrika Selatan malam ini. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram