Bintang badminton negara 'koyak' marahkan media, kenapa tak salahkan Rexy Mainaky?


  • Podium
  • Khamis, 21 Jul 2022

Tindakan Nur Izzuddin (kiri) menyalahkan laporan media berhubung kekalahan awal pasangan beregu negara itu mengundang kritikan ramai pihak.

TINDAKAN pemain beregu badminton lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani yang seolah-olah 'melenting' dan menyalahkan laporan media susulan penyingkiran awal dia dan pasangannya, Goh Sze Fei di Terbuka Singapura 2022 pada pertengahan Julai, mendapat kritikan ramai pihak.

Menerusi laman Instagramnya baru-baru ini, Nur Izzuddin, 25, seolah-olah menuduh media membuat andaian sendiri berhubung kegagalan pasangan itu untuk mara lebih jauh.

bad3

Selain tewas seawal pusingan kedua pada Terbuka Singapura 2022, beregu negara ini turut tersingkir awal di pusingan pertama Masters Malaysia

"Mencari rezeki dengan menyebarkan berita tak sahih dengan menulis sesuatu yang bukan datang dari mulut kami itu lebih hina lebih memalukan dari kami yang kalah pusingan awal ini.

"Tak pernah kami bagi alasan bila kalah sebab kami tahu kekalahan patut diterima bukan diberi alasan, sebab siapa yang bagi alasan setiap kali kalah tu memang noob.

"Tak tahu pihak mana yang salah yang cakap perkara ini tapi apa yang saya tahu semua yang disebarkan bukan dari mulut kami cuma ada pihak buat andaian sendiri.

"Jangan sekadar menulis buat berita pakai petik kalau tak tahu condition yang sebenar sebab boleh menjatuhkan.

"Jangan sekadar baca tapi tak tahu hujung pangkal sebab hujung hujung kami yang tanggung. Jangan jadi palatau. #guaantimedia," tulisnya di Instagram.

Status Instagram Nur Izzuddin yang mengundang kritikan ramai pihak

Begitupun, beberapa pemerhati sukan kembali membidas kenyataan terbuka Nur Izzuddin memandangkan media hanya melaporkan kenyataan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

Ketika ditemu bual media tempoh hari, Rexy berang dengan alasan apabila Sze Fei-Nur Izzuddin yang turun selaku pilihan keenam kejohanan, tewas dalam pusingan kedua kepada gandingan bukan pilihan dari India M.R. Arjun-Dhruv Kapila, 18-21, 24-22, 18-21 di Stadium Tertutup Singapura.

Rexy menyifatkan alasan penat diberikan juara Terbuka Jerman 2022 itu sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana percaya mereka mendapat rehat secukupnya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 14-21, 20-22, kira-kira seminggu sebelum itu.

Namun pada Rabu, Rexy akhirnya mengakui terdapat salah faham dalam isu alasan penat diberikan gandingan ke-12 terbaik dunia itu.

Rexy menjelaskan, jurulatih beregu, Tan Bin Shen telah menyampaikan maklumat salah kepadanya berhubung faktor yang menyebabkan Sze Fei-Nur Izzuddin, selaku pilihan keenam kejohanan, tewas dalam pusingan kedua Terbuka Singapura 2022 itu.

"Mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) tak cakap penat. Hanya salah faham daripada Bin Shen sewaktu beliau sampaikan kepada saya," jelas Rexy.

bad2

Rexy (kiri) mengakui terdapat salah faham berhubung situasi kekalahan pasangan Nur Izzuddin-Sze Fei — Badminton Planet

Mengulas kontroversi yang cuba dicetuskan Nur Izzuddin, pemerhati sukan, Tan Ming Wai berkata, dia berasa hairan kenapa beregu terbabit melepaskan geram terhadap media sedangkan wartawan yang dikecam sekadar melaporkan apa yang dinyatakan oleh jurulatih apabila diminta memberi komen mengenai kekalahan 'pasangan handalan' itu kepada lawan mereka yang ranking lebih rendah.

"Adalah menjadi kelaziman untuk wartawan sukan untuk mendapatkan reaksi daripada jurulatih, lebih-lebih lagi semenjak kebelakangan ini, memandangkan agak sukar untuk berhubung dengan atlet.

"Jadi, kenapa tidak korang luahkan rasa marah pada coach yang mengeluarkan kenyataan yang korang label sebagai "tak sahih'?" soalnya di Facebook.

Pada masa sama, Ming Wai menjelaskan, apabila wartawan mengagung-agungkan atlet yang cemerlang dalam laporan, media sama sekali tidak mengharapkan apa-apa balasan atau ucapan terima kasih kerana itu memang tugas dan tanggungjawab media untuk menjadikan atlet cemerlang itu terkenal, agar menjadi idola dan inspirasi kepada masyarakat.

"Tapi janganlah apabila tewas awal dan gara-gara satu dua laporan berunsur negatif, media tiba-tiba dianggap sampah pula.

"Sebelum korang jadi famous sampai ada ratusan ribu followers di media sosial, dari mana korang dapat publisiti kalau bukannya dari media tradisional. You guys boleh mulakan kempen #guaantimedia, no problem. Tapi, di sini saya nak ingatkan anda #mediabukansampah," tulisnya lagi.

bad1

Pasangan ke-12 terbaik dunia ini tewas di peringkat awal dalam kedua-dua kejohanan utama pada bulan ini. — Getty Images

Dalam pada itu, seorang lagi pemerhati sukan, Mafas Hasan menegaskan, pasangan beregu itu sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan di media sosial terutamanya apabila mereka merupakan figura umum yang memiliki ribuan pengikut.

"Rexy yang cakap, media yang ko tibai kenapa? Audio Rexy ada tersimpan kemas kat gallery. Kalau berani, buatlah hashtag #antirexy," tegas seorang lagi pemerhati sukan, Haidar Ali.

Belum ada kenyataan susulan Nur Izzuddin setakat ini, selain bintang beregu negara itu juga dilihat telah nyahaktif komen pada posting asal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram