'Aksi tumbukan patut dihukum,' JDT berpeluh jinakkan Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 20 Jul 2022

Antara aksi antara JDT dan Penang FC dalam saingan Liga Super pada Rabu. — Facebook JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) terpaksa berhempas pulas menundukkan Penang FC bagi mengutip tiga mata penuh di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Rabu.

Beraksi dengan beberapa pertukaran tanpa pemain utama seperti Leandro Velázquez yang diganti dengan Safiq Rahim dan Matthew Davies yang digantikan dengan S Kunanlan, skuad Benjamin Mora tidak berdepan masalah untuk menguasai perlawanan.

Tapi corak bertahan dan disiplin yang tinggi menyukarkan barisan serangan JDT menembusi gawang Harimau Kumbang.

Tambahan aksi cemerlang penjaga gol berpengalaman, Hafizul Hakim menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada Fernando Forestieri dan Fernando Rodriguez.

JDT terpaksa menunggu sehingga minit ke-69 untuk memecah kebuntuan menerusi Rodriguez yang mudah menanduk masuk hasil hantaran lintang Ariff Aiman.

Kunanlan Tumbuk

Aksi Kunanlan menumbuk Azzizan pada minit ke-29 gagal dikesan pengadil.

Namun antara yang menjadi perbualan peminat adalah aksi ganas bek kanan JDT, S Kunanlan yang dikesan menumbuk pemain Penang FC, Azzizan Nordin pada minit ke-29.

Kunanlan melakukan aksi itu ketika sepakan percuma Penang FC tetapi gagal dikesan oleh pengadil perlawanan.

Bagaimanapun tindakannya itu tidak mencetuskan sebarang insiden yang tidak diingini selepas pemain berusia 35 tahun itu dilihat bersalaman dengan Azzizan.

Kunanlan diturunkan buat kali pertama pada musim ini selepas hanya memanaskan bangku simpanan sepanjang saingan Liga Super.

Dia sempat bermain selama 12 minit dalam saingan ACL pada musim ini.

Kemenangan JDT mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan 29 mata serta mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan setakat ini.

Manakala Penang FC kekal di tangga tercorot liga dengan tujuh mata selepas 12 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram