Ibarat tolak tuah, 3 sebab Melaka United gagal raih mata penuh


  • Podium
  • Khamis, 21 Jul 2022

Melaka United gagal manfaatkan peluang yang ada untuk meraih mata penuh di gelanggang sendiri. — Facebook MFL

SKUAD Hang Tuah dilihat gagal memanfaatkan peluang meraih tiga mata dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput pada Rabu selepas sekadar seri 2-2 dengan PJ City FC.

Meski pun mendahului dengan jaringan Emmanuel Oti Essigba pada minit ke-36, tetapi Melaka United terpaksa bangkit mengikat PJ City selepas gawang mereka bolos dua kali hasil gol Darren Lok pada minit ke-43 dan Kandasamy Gurusamy (minit ke-64).

Sony Norde menjadi penyelamat maruah skuad Sang Kancil hasil jaringan pada minit ke-76.

Malah Ketua Jurulatih Melaka United, Mohd Asri Ninggal mengakui pasukannya patut menang tapi memilih menolak tuah.

"Pemain sepatutnya memanfaatkan peluang yang ada untuk meraih mata penuh namun akibat kesilapan mudah membiarkan pasukan pelawat menjaringkan gol dan berkongsi mata.

"Kami patut menang tetapi menolak tuah dan perlu salahkan diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Justeru, penyokong dan peminat Melaka United tampil dengan pendapat mereka sendiri tentang prestasi hambar ditampilkan dalam perlawanan itu walaupun sebelum ini anak buat Mohd Asri cemerlang menundukkan Selangor dan mengikat penyandang juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Berikut antara bualan penyokong Melaka United selepas sekadar mampu seri dengan pasukan PJ City FC.

1) Konsisten

Antara yang menjadi masalah Melaka United adalah corak permainan pasukan itu yang dikatakan tidak konsisten terutamanya dalam kalangan pemain untuk mengikut taktikal Mohd Asri.

Ini terbukti dalam perlawanan menentang PJ City apabila mereka dilihat terlalu mengikut rentak permainan lawan yang bermain laju dan dilihat seperti tiada misi.

Mentaliti juara pada setiap pemain juga jelas masih samar sekali gus menyebabkan peminat mereka sendiri berasa hampa dengan corak permainan yang kurang agresif.

"Jika semua pemain memberikan usaha 100 peratus dan tidak terlalu mengharapkan Sony Norde sudah pasti skuad berkenaan mampu pulang membawa tiga mata," tulis Mohd Khusaiffie Sainan.

Sementara itu, Muhammad Shah mencadangkan agar jurulatih kena menggunakan formula permainan lain untuk mendapatkan 3 mata selepas ini.

"Jurulatih kena cari kaedah lain bila berdepan pasukan yang kuat bertahan, nampak pemain hilang idea nak susun strategi.

"Ada beberapa cara, jurulatih sepatutnya lebih tahu cara," katanya.

2) Rindu aksi Andriano

Selain soal taktikal, ketiadaan bintang tengah Melaka United, Adriano Narcizo juga sedikit sebanyak menjejaskan perancangan dan kekuatan skuad Melaka United.

Kehadiran Adriano dilihat penting dalam setiap perlawanan kerana sering memberikan impak pada kualiti serangan pada perlawanan sebelum ini sehingga menyebabkan beberapa pemain tengah seperti hilang tumpuan dan hilang kawalan bola sekali gus memberikan kelebihan pada pasukan lawan.

Andriano amat dikenali dengan kualiti hantaran untuk menggerakan serangan dan melakukan lorongan yang boleh mencipta kepada peluang gol.

"Kelembapan permainan berpunca dari tiada pemain seperti Adriano, pemain tengah dapat bola tapi tidak tahu nak through pass pada pemain lain.

"Nasib baik Hasbullah Abu Bakar masuk separuh masa kedua, nampak juga through passes ke depan.

"Kesimpulannya taktikal permainan yang digunakan oleh pasukan Melaka memakan diri sendiri," kata peminat Melaka FC, Muhammad Shukri Shahrudin.

3) Tidak percaya ubi muda

Kemunculan pemain muda dari Sabah, Harith Naem Jaineh turut mencuri tumpuan pada malam itu dengan aksinya yang bertenaga dan mampu mengucar kacirkan pertahanan lawan.

Sepanjang musim ini, Harith diturunkan dalam empat perlawanan tetapi sayangnya dia tidak diberikan lebih banyak peluang untuk bersinar.

Lebih merugikan lagi, pemain utama Melaka United dilihat tidak dapat 'berinteraksi' dengan baik bersama Harith walaupun pemain muda itu sentiasa mencari kedudukan untuk menerima hantaran selain membuat larian yang boleh mencipta sesuatu buat pasukan.

"Kasihan betul Harith. Masuk 60 minit lebih. Ada ruang dekat hujung tapi tiada yang tolak bola.

"Macam mana budak itu nak menimba pengalaman kalau pemain senior sendiri pun tidak percaya pada pemain baru,"katanya.

Keputusan seri itu masih tidak merubah kedudukan Melaka untuk terus berada di tangga kelapan Liga Super 2022 dengan sekadar mengutip 13 mata daripada 11 perlawanan.

Manakala, PJ City yang mengutip 11 mata berada di tangga kesembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram