HARAPAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membawa masuk pakar psikologi dalam usaha meningkatkan kekuatan mental pemain ketika beraksi di bawah tekanan yang hebat di gelanggang disambut baik pihak Institusi Sukan Negara (ISN).
Usaha itu bagi membantu BAM untuk membuang 'sindrom' kalah dalam separuh akhir dan final sesuatu kejohanan yang seakan-akan sudah sebati dengan barisan pemain badminton tempatan.
Menurut Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Sabtu lalu, pihak BAM masih menunggu kelulusan bajet terlebih dahulu sebelum melanjutkan hajat mereka itu.
Mengulas mengenai isu tersebut, Pengarah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Wan Norafzan Wan Mahadi berkata, usaha BAM itu dijangka memberi impak positif pada atlet-atlet di bawah badan berkenaan.
"Sebagaimana yang BAM cakap, mereka memiliki ramai atlet. Kami di ISN tidak dapat beri tumpuan spesifik pada satu-satu sukan. Ini kerana di bawah bidang kuasa kami, terdapat banyak lagi sukan yang perlu diselia.
"Sukan-sukan lain juga memerlukan khidmat psikologi di bawah kami. Jadi mereka tidak boleh mengharapkan pihak kami dapat beri sepenuh tumpuan pada atlet-atlet mereka.
"Pada masa yang sama, saya rasa mereka ada tekanan-tekanan dari luar juga sebab dalam sukan badminton, ada pemain yang bukan sepenuhnya bernaung di bawah BAM. Jadi, mereka bukan di bawah bidang kuasa kami," katanya kepada Majoriti.
Pengarah Akedemi Kejurulatihan Kebangsaan, Wan Nor Afzan Wan Mahadi
Tambahnya, seorang pegawai psikologi sukan di bawah ISN bertanggungjawab untuk menjaga tiga hingga empat bidang sukan, sekali gus menyukarkan pihaknya untuk memberikan perkhidmatan seperti yang diharapkan persatuan.
"Kalau seorang pegawai jaga setiap sukan, maksudnya kita perlukan berpuluh pakar psikologi. Kita tak mampu untuk sediakan begitu banyak kepakaran.
"Oleh itu, kami tak mampu memberikan perkhidmatan seperti yang diharapkan persatuan kerana kami perlu adil kepada semua sukan,"jelasnya.
Sebagai rekod, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wang Choong Hann mendedahkan bahawa hasil bedah siasat awal dua Kejohanan pada Kejohanan Terbuka Thailand selain Kejohanan Jelajah Akhir BWF pada tahun lalu adalah lemah mental dan kurang semangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram