WALAUPUN berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain baharu bagi mengukuhkan pasukan pada baki saingan liga, masih ada kata-kurang enak yang dilontarkan oleh sesetengah penyokong.
Kebolehan penyerang import, Lucas Silva, pemain pertahanan, Muhammad Gopi Rizqi dan Faizal Talib yang berhijrah dari Melaka United masih diragui oleh penyokong.
Sehinggakan ada yang melabel bekas pemain Sarawak United, Muhammad Gopi sebagai 'kuda tua' dan satu kerugian buat Penang FC merekrutnya.
Menafikan dakwaan itu, Ketua Jurulatih skuad Harimau Kumbang, Zainal Abidin Hassan berkata, Muhammad Gopi masih pemain yang baik dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Menurutnya, sama ada pemain baharu ataupun lama, semua mempunyai watak penting untuk membantu pasukan memperoleh keputusan yang cemerlang.
"Buat pemain baharu, mereka perlu menyesuaikan diri dengan pasukan dahulu. Dalam masa yang singkat ini penyesuaian diri amat penting buat mereka untuk membentuk keserasian sebagai satu pasukan.
"Saya tidak boleh cakap kelebihan pemain sebab saya percaya mereka semua ada kekuatan. Setiap pemain yang diambil ada kelebihan masing-masing yang ada berguna untuk pasukan.
"Orang cakap Gopi kuda tua, bagi saya dia masih pemain yang baik. Dia masih on form. Saya tidak peduli apa komen-komen orang ramai," katanya kepada Majoriti.
Barisan pemain baharu Penang FC. — Facebook Penang FC
Pada Sabtu, Penang FC dijadualkan menentang pasukan Nepal, New Road Team sempena aksi Kejohanan Bolasepak Kelab Antarabangsa Piala TYT 2022 dan ia merupakan perlawanan pertama buat ketiga-tiga pemain baharu itu.
Mengulas mengenai perlawanan menentang New Road Team, Zainal Abidin menganggap aksi itu adalah sebagai persiapan skuad Harimau Kumbang untuk menghadapi Selangor FC 16 Julai nanti.
"Untuk perlawanan malam ini, kami ingin perbaiki permainan pasukan dan saya harap pemain dapat menunjukkan satu persiapan yang baik menjelang Liga Super.
"Ia juga sebagai persiapan menentang Selangor. Saya hanya nak mereka serasi bermain pada malam ini sebagai persediaan aksi Liga Super dan beraksi mengikut taktikal. Saya harap dapat mengharumkan nama Penang FC pada malam ini," jelasnya.
Tambahnya, ketiadaan kapten Penang FC, Endrick dan Shukri Hamid akibat kecederaan tidak menjadi masalah buat Harimau Kumbang kerana mereka lebih diperlukan pada aksi menentang Selangor.
"Shukri dan Endrick tidak akan diturunkan pada malam ini kerana kecederaan. Bagi saya mereka tidak perlu diturunkan kerana semua menunggu mereka baik pulih sepenuhnya dan dapat bermain ketika menentang Selangor," katanya.
Zainal Abidin juga memuji semangat juang pemain sewaktu membenam 2-1 Terengganu FC pada minggu ke-11 aksi Liga Super dan ia merupakan emenangan sulung skuad Harimau Kumbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram