MELAKA United bakal melayan kunjungan Selangor FC dalam aksi Liga Super 2022 di Stadium Hang Jebat pada Selasa.
Berdasarkan rekod pertemuan head-to-head di antara kedua-dua pasukan itu dalam 12 perlawanan terakhir sejak 2017, skuad Hang Tuah memperoleh lima kemenangan manakala Gergasi Merah dengan dua kemenangan. Lima lagi pertemuan menyaksikan kedua-dua pasukan memperoleh keputusan seri.
Pada aksi kali ini, menjadi persoalan dalam kalangan penyokong Selangor sama ada pertemuan dengan Melaka bakal mengakhiri badi kekalahan skuad The Red Giants.
Selangor antara pasukan yang gagal untuk konsisten dalam setiap perlawanan. Dalam tiga perlawanan terakhir aksi Liga Super, Selangor membelasah Sarawak United dengan keputusan 7-1, namun tewas dengan Johor Darul Takzim (JDT) (1-5) dan seri 1-1 dengan Sabah FC.
Berbeza dengan Melaka, anak buah pemangku Ketua Jurulatih, Mohd Asri Ninggal, kejayaan mereka mengikat penyandang Juara Liga Super, JDT pada Sabtu menjadi tonik terbaik untuk mengekalkan mutu permainan untuk mencari kemenangan pertama sejak kali terakhir mengutip tiga mata selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 6 Mei lalu.
Kemenangan ke atas Selangor juga akan menyaksikan Melaka memperoleh kemenangan pertama di laman sendiri pada musim ini selepas gagal berbuat demikian dalam empat perlawanan terdahulu.
Mereka kalah 0-1 kepada Sabah, tewas 2-3 kepada Sarawak United, seri 0-0 menentang Negeri Sembilan dan 1-1 melawan JDT.
Pertemuan dengan Melaka bakal menjadi ujian buat import Selangor, Herlison Caion untuk membuktikan sama ada dia mampu untuk mencipta kemenangan sekali gus mengakhiri badi kekalahan Selangor dengan skuad Sang Kancil.
Caion boleh menjadi duri dalam daging buat Melaka United.
Menurut transfermarkt.com, pemain berusia 31 tahun itu merupakan penjaring kedua terbanyak selepas Bergson da Silva dengan 10 gol dalam lapan penampilan setakat ini.
Penyerang dari Caxias, Brazil yang merekodkan 720 minit permainan dalam aksi Liga Super musim ini turut menyumbang dua bantuan gol kepada Gergasi Merah.
Pada masa sama, perlawanan itu juga dianggap satu pertandingan yang kompetetif buat bekas penyerang Selangor, Ifedayo Olesegun yang untuk pertama kalinya bertemu bekas majikannya itu.
Sebahagian besar penyokong Selangor merasakan bekas pemegang kasut emas pada musim 2021 akan diturunkan beraksi selepas 'berehat' pada perlawanan sebelum bertemu JDT.
Ifedayo, 31, mencetak dua gol menerusi lima penampilan dan merekodkan 437 minit masa permainan.
Berdasarkan statistik kedua-dua pemain, Caion yang memiliki tanda harga €375,000 (RM1.7 juta) yang tidak banyak berbeza dengan Ifedayo (RM1.6 juta) dilihat mampu mengetuai jentera serangan dan memberi saingan sengit kepada Melaka yang kini di kedudukan kesembilan carta liga dengan sembilan mata manakala Selangor di tangga ketujuh dengan 12 mata.
Melaka juga dijangka meletakan sandaran kepada seorang lagi import mereka, Sony Norde yang menampilkan aksi bertenaga ketika mengikat JDT pada Sabtu lalu.
Mampukah skuad Sang Kancil terus menjadi batu penghalang kepada pasukan lawan yang kini di tangga ketujuh untuk mengutip mata di Hang Jebat, sekali gus mencatat kemenangan pertama di laman sendiri pada musim ini? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram