TIRAI jendela perpindahan kedua pemain dalam saingan Liga Malaysia 2022 berakhir pada Jumaat.
Antara yang paling mencuri tumpuan apabila dua pemain, Lee Andrew Tuck dan Sergio Aguero dilaporkan masih gagal didaftarkan sebagai pemain tempatan Sri Pahang FC sejurus sebelum jendela perpindahan pemain kedua ditutup.
Nama kedua-dua pemain itu bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat apabila sebelum ini disebut-sebut akan dinaturalisasikan, sekali gus memperkuatkan skuad Tok Gajah.
Namun entah apa sebabnya, segala yang dihajati sekali lagi tidak kesampaian, lantas menyebabkan ada yang menyifatkan sudah tiba masanya peminat Sri Pahang supaya 'move on' dan melupakan terus hasrat untuk melihat Lee Tuck dan Aguero menyarung jersi Tok Gajah.
Selain syarat naturalisasi yang diuar-uarkan semakin diperketatkan, penampilan yang kurang memberangsangkan mungkin antara faktor penyebab kedua-duanya masih tidak dapat bersama Sri Pahang buat masa ini.
Selain itu, faktor usia apabila Lee Tuck sudah mencecah 34 tahun sementara Aguero (28 tahun) juga didakwa merumitkan lagi proses naturalisasi kedua-dua pemain berkenaan.
Untuk rekod, Lee Tuck memulakan karier di saingan domestik ketika mewakili Negeri Sembilan pada 2017. Beliau berjaya menjaringkan lima gol menerusi 20 perlawanan.
Ketika menyertai Terengganu FC pada 2018 hingga 2020, Lee Tuck yang berasal dari England itu menyumbang 23 gol daripada 57 penampilan.
Selain itu, ketika bersama Sri Pahang FC pada 2021, pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan dua gol daripada 11 perlawanan yang disertainya.
Sementara itu, Aguero menyertai Melaka United FC pada tahun 2017 pula tidak menyumbang sebarang gol dalam lapan perlawanan ketika itu.
Pemain kelahiran Argentina itu ketika mewakili Sarawak United pada 2019 juga hanya menyumbang satu gol daripada satu perlawanan yang disertainya.
Malah, Aguero yang berusia 28 tahun ketika ini, hanya menyumbang dua gol daripada 13 perlawanan semasa mewakili Perak pada 2021.
Musim 2022 menjadi tahun kelima Tuck dan Aguero beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan tempoh ini sudah cukup untuk kedua pemain memohon untuk menjadi pemain naturalisasi seperti tiga pemain sebelumnya iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.
Akan tetapi, proses naturalisasi Lee Tuck mendapat kritikan dari salah seorang bekas pemain bekas pemain Melaka United dan Felda United iaitu Curran Ferns yang menuduh Tuck menipu rakyat Malaysia dalam usaha beliau untuk mendapatkan kerakyatan.
Tidak hairanlah, kegagalan Sri Pahang mendaftarkan kedua-dua pemain itu sebagai pemain tempatan dilihat memanjangkan lagi misteri yang membelenggu peminat apabila masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku berhubung status Lee Tuck dan Aguero.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, tirai perpindahan kedua pemain dilihat sedikit hambar apabila tidak banyak pasukan membuat pertukaran pemain baharu kali ini.
Ia turut ditambah dengan nilai pemain import agak rendah berbanding awal musim.
Laporan turut menyebut, tidak banyak pembelian pemain import baharu dibuat oleh pasukan baik dari Liga Super atau Liga Premier.
Tirai perpindahan tersebut sudah dibuka sejak 28 Mei lalu, namun nilai pembelian pemain import secara keseluruhan hanya mencatat RM1 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram