PADA Ahad, laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Johor Southern Tigers memuat naik gambar pemainnya giat menjalani latihan bagi menghadapi Petaling Jaya City (PJ City) dalam saingan Liga Super.
Perkongsian itu mencuri tumpuan penyokong skuad Harimau Selatan selepas kelibat pemain sayap kiri, Muhammad Akhyar Abdul Rashid turut sama kelihatan menjalani persiapan rapi bersama rakan sepasukan lain.
"Preparation for this Tuesday's fixture is on," tulis Johor Southern Tigers di ruangan kapsyen.
Melihat kepada foto itu, rata-rata penyokong membuat andaian Akhyar mungkin bakal diturunkan dalam kesebelasan utama JDT ketika melayani kunjungan PJ City ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Selasa.
Spekulasi itu bertambah kuat dengan mengambil kira nasib Arif Aiman Hanapi yang mungkin tidak dapat beraksi akibat penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.
Dalam hal ini, ada penyokong merasakan pengendali JDT, Benjamin Mora hanya menurunkan Akhyar apabila ketiadaan Arif Aiman.
Arif Aiman berdepan penggantungan satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning.
Berbanding Arif Aiman yang sudah membuat tujuh penampilan dengan 598 minit permainan dalam kejohanan Liga Super setakat musim ini, Akhyar pula hanya baru diturunkan satu kali dengan mengumpul tujuh minit masa permainan.
Itu merupakan kali terakhir Akhyar beraksi di Liga Super pada 9 Mac lalu ketika JDT membelasah Sarawak United 6-0.
Berdasarkan statistik transfermarkt.com itu, Arif Aiman dilihat menjadi pemain kepercayaan Mora untuk diturunkan berbanding Akhyar meskipun kedua-duanya bermain di sayap berbeza.
Bahkan ketika menentang Selangor FC pada Jumaat lalu (24 Jun), Akhyar juga langsung tidak senaraikan dalam skuad.
Justeru, jika pemain berusia 23 tahun itu diturunkan pada Selasa dalam cabaran menentang PJ City, Akhyar harus memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untukmembuktikan dirinya masih berbisa dan mendapat kepercayaan Mora.
Meskipun menyarung jersi JDT, Akhyar tidak boleh berasa selesa dengan kelebihan yang dimiliki. Penyokong merasakan dia perlu mengumpul lebih banyak masa perlawanan dan membuktikan dirinya masih relevan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Jika Akhyar tidak meletakkan karier bola sepak sebagai prioriti utama, dia boleh menikmati kemewahan, keseronokan dan kemahsyuran di JDT walaupun sekadar memanaskan bangku simpanan, namun sekiranya pemain muda itu lebih sayangkan kariernya, dia harus keluar dari JDT dan bermain di kelab lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram