KEPUTUSAN Terengganu FC (TFC) untuk meminjamkan Jordan Mintah ke pasukan KL City FC sebelum ini mendapat reaksi negatif daripada penyokong.
Ramai beranggapan bahawa Mintah yang sebelum itu beraksi untuk TFC II sepatutnya dibawa bersama dalam TFC kerana pemain itu begitu menyinar dalam Liga Premier.
Namun, melihat aksi sulung Mintah ketika bersama KL City FC sewaktu menentang Selangor FC pada Jumaat memperlihatkan kenapa Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain meminjamkan Mintah.
Menerusi perlawanan menentang Selangor FC, Mintah dilihat terlalu mudah jatuh dan tidak mempunyai persefahaman dengan pemain yang lain.
Gerakan Mintah pula begitu mudah dibaca dan ancaman yang cuba dilakukannya tidak begitu memberi masalah kepada pertahanan Selangor.
Jordan Mintah sebelum ini beraksi untuk TFC II sebelum dipinjamkan ke KL City FC. — Facebook/Terengganu FC
Persefahaman antara beliau bersama Romel Morales juga masih lagi samar-samar apabila kedua pemain ini tidak mencipta sebarang gerakan bersama untuk memburu gol di bahagian pertahanan Selangor.
Malah, Mintah sendiri mengakui dalam satu sesi temu bual selepas perlawanan yang dia masih mencari kesefahaman bersama dengan ahli pasukannya.
Namun, bukan sekadar kesefahaman yang menjadi kemahuan Nafuzi. Sebaliknya taktikal jurulatih itu lebih kepada seorang penyerang yang boleh mempelbagaikan peranannya.
Disebabkan itu juga Kpah Sherman menjadi pilihan Nafuzi dan aksi penyerang itu boleh dilihat menerusi perlawanan TFC dengan Kedah Darul Aman (KDA FC).
Sherman mampu mengawal bola dan mempunyai persefahaman yang baik dengan rakan pasukan lain.
Kpah Sherman dilihat lebih serasi dengan taktikal Nafuzi Zain. — Facebook/Terengganu FC
Malah, ada kalanya Sherman selaku penyerang menjadi umpan dan ini membenarkan serangan dilakukan di bahagian sayap, sama seperti peranan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Diogo yang menyebabkan Safawi Rasid begitu menyerlah pada 2019.
Mintah hanya bagus di posisinya dan secara keseluruhan, perkara itu memang tidak selari dengan taktikal Nafuzi.
Perlawanan pada tahun lalu ketika TFC menentang JDT pun menyaksikan Mintah begitu senang terjatuh bila berdepan pemain pertahanan serta kerap hilang kawalan.
Nafuzi mahukan pemain yang mampu beraksi bukan sekadar sebagai seorang penjaring gol, tetapi juga penyerang yang mampu merancang dari bawah.
Perkara itu mungkin menjadi sebab mengapa Mintah yang sebelum ini mahu bermain dalam Liga Super tidak dipilih untuk menyertai TFC, sebaliknya terus dipinjamkan ke KL City FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram